
Kumpulan ikonik era 90-an, 4U2C, menegaskan bahawa penampilan khas kumpulan pop seangkatan mereka seperti Res 2 dan A To Z dalam WE 4U2C Live in Concert bukanlah satu keputusan tergesa-gesa, sebaliknya telah lama dirancang sejak dari awal penganjuran.
Menurut Azam, salah seorang anggota kumpulan tersebut, mereka memang sudah pun berhubung dengan beberapa kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena pada zamannya.
Malah, katanya lagi, akan ada lebih banyak kejutan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Itu memang perancangan kami sejak awal dan bukan dibuat secara tiba-tiba.
“Kita akan umumkan secara berperingkat. Ada lagi pengumuman yang akan dibuat nanti,” katanya kepada MH.
Jelas Datuk AC Mizal, dia menyifatkan konsert kali ini sebagai satu ruang untuk bukan sahaja 4U2C kembali ke pentas, tetapi juga membuka peluang buat rakan-rakan artis seangkatan yang belum berpeluang untuk tampil mengubat rindu para peminat.
“Ketika sesi sidang media yang lalu, saya pernah bagitahu, konsert 4U2C bukan nak melawan sesiapa. Malah, hubungan kami bersama kumpulan-kumpulan lain ini masih rapat.
“Kebanyakan mereka masih belum berpeluang untuk mengadakan persembahan. Jadi, kami juga nak beri peluang kepada mereka,” katanya.
Bukan sekadar muncul atas pentas, 4U2C kini sedang menjalani latihan intensif bagi memastikan keseluruhan persembahan berjalan dengan lancar dan penuh impak.
“Sebelum nak buat konsert, saya ada bertanya kepada anggota lain, boleh ke kita berikan komitmen penuh? Konsert kami ini lain dari yang lain.
“Kami bukan sekadar beri lagu kepada pengarah muzik dan tiga atau empat hari sebelum konsert, baru rehearsal.
“Persiapan kami lebih dari itu. Latihan menari sahaja makan masa dua bulan. Belum lagi sentuh bab menyanyi dan menari bersama penari latar.
“Sususan lagu dan perancangan pentas juga harus dibuat dengan rapi. Malah, Azam dengan baik hatinya telah membuat tiga buah lagu baharu,” ujar AC.
Lebih menyentuh perasaan, pengorbanan dari sudut masa dan tenaga turut melibatkan keluarga mereka yang banyak menyokong di belakang tabir.
“Sejujurnya kami banyak berkorban. Latihan sampai lewat malam dan keesokkannya kena urus anak ke sekolah pula.
“Badan kami pun bukan muda lagi. Bendalir lutut pun dah kurang. Makan macam-macam ubat lagi. Malah, isteri dan keluarga juga turut berkorban.
“Mereka juga sentiasa menyokong. Sebenarnya, isteri-isteri kami yang lebih banyak berkongsi soal konsert.
“Bila anak-anak kami bercampur sekali seperti satu keluarga, suasananya indah sekali. Kami memang tak jangka langsung,” akhirinya.
Konsert WE 4U2C Live in Concert bakal berlangsung pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya, dan dijangka menjadi salah satu momen paling nostalgik dan penuh emosi buat penggemar muzik 90-an.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini