Categories: Hiburan

“Kami Akan Teruskan Pada Malam Berikutnya…,” – Intan Najwa Adakan Solat Hajat Bersama Anak Tahfiz, Pohon Doa Buat Pejuang GSF

Share

Sebagai salah satu usaha dan ikhtiar untuk membantu sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dipercayai ditahan tentera Isr@el, pelakon, Datin Intan Najuwa berhasrat untuk mengadakan majlis solat, malam ini.

Menurut Intan, dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan tanggapan segelintir pihak yang merasakan dia hanya sekadar ingin menunggang isu yang sedang hangat diperkatakan saat ini.

“Orang boleh menghakimi dan menilai saya susuka hati mereka jika saya berkongsi mengenai perkara ini.

“Namun, saya ingin jelaskan bahawa saya bukan ‘fomo’ (fear of missing out) atau mengharapkan validasi sesiapa.

“Saya berkongsi hal ini kerana hati saya benar-benar tergerak untuk melakukannya,” katanya.

Perkara itu dikongsikan oleh ibu kepada seorang cahaya mata itu menerusi satu hantaran di aplikasi Thread.

Katanya lagi, majlis doa selamat itu akan turut disertai oleh anak-anak tahfiz dan akan diteruskan pada malam-malam berikutnya.

“Malam ini, saya dan suami bersama-sama dengan anak-anak tahfiz kesayangan kami akan mengadakan solat hajat khas buat para sukarelawan GS yang ditahan.

“Insya-Allah kami akan terus usaha ini pada malam-malam berikutnya selagi diberikan kekuatan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Intan turut memanjatkan doa semoga semua sukarelawan termasuk rakyat Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan selamat.

“Semoga usaha dan doa yang dipanjatkan bersama ini akan diangkat menjadi satu. Semoga mereka yang ditahan oleh tentera Isr@el itu sentiasa di dalam lindungan dan jagaan Allah SWT,” kongsinya lagi.

Difahamkan, Intan turut berjaga tengah malam tadi bagi mengikuti perkembangan terkini pelayaran delegasi GSF yang ketika ini berada di zon merah.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber & Kredit Foto: Thread & Instagram Intan Najuwa, TV3

Published by
Aizam Manaf