
Dalam dunia muzik, tidak semua perjalanan mampu bertahan lama. Namun, kisah kumpulan Kristal membuktikan sebaliknya apabila perjalanan yang bermula 25 tahun lalu terus utuh, didorong oleh semangat, persahabatan dan kecintaan terhadap muzik.
Dua setengah dekad lalu, sekumpulan anak muda memulakan langkah dengan impian yang sederhana.
Ketika itu, mereka tidak memiliki pentas besar, sorotan lampu gemerlapan mahupun jaminan kejayaan. Yang ada hanyalah muzik serta ikatan persahabatan yang menjadi asas perjalanan mereka.
Bermula dari studio kecil dan persembahan gig bawah tanah, kumpulan ini perlahan-lahan membina nama dalam industri muzik tempatan.
Dengan semangat yang tidak pernah luntur, mereka akhirnya muncul sebagai salah satu kumpulan rock yang meninggalkan kesan tersendiri dalam landskap muzik Malaysia.
Sepanjang tempoh 25 tahun itu, Kristal telah melalui pelbagai detik yang membentuk identiti mereka hari ini.
Lagu-lagu mereka menjadi siulan peminat, manakala album-album yang dihasilkan pula menemani zaman remaja ramai pendengar.
Persembahan pentas mereka sentiasa disambut dengan sorakan dan sokongan yang tidak pernah pudar, membuktikan muzik mereka terus hidup dalam hati peminat.
Kini, selepas 25 tahun, sebuah malam istimewa bakal menghidupkan kembali semua kenangan tersebut menerusi KRISTAL OG CONCERT – “25 Tahun Dalam Satu Malam.”
Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi medan untuk mengimbau nostalgia melalui seleksi lagu yang pernah membesar bersama peminat.
“Konsert kali ini adalah berlainan dengan konsert Kristal sebelum ini. Kami akan ‘all out’, dengan saya akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dirakam dari Album pertama sehingga album yang ke-13.
“Lagu-lagu dalam album tersebut termasuklah yang dianggotai oleh ahli lain iaitu Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi anak beranak Kristal dalam album itu.
“Jadi semua ini kami akan bawakan di pentas konsert OG nantip ada 1 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.
“Signifikan 25 tahun Kristal ini adalah perjalanan seni Lan Solo Bersama Kristal dari zaman kanak-kanan sehinggalah kini, merangkumi perjalanan selama 25 tahun.
“Sepanjang kami terbitkan album sebanyak 13 album, ahli anggota kami ada yang bertukar-tukar tetapi konsep dan genre muzik tetap sama saja dan hanya dinyanyikan oleh Lan Solo.
“Jatuh bangun perjalanan Kristal sepanjang 25 tahun ini kami telah lalui pelbagai cabaran, dugaan, sedih, gembira, rakan Kumpulan yang bertukar-tukar tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk berkarya dan kekal relevan,” kata Lan, mewakili Kristal.
Konsert Kristal OG 25 Tahun ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama penganjur acara Blavia dan Andromeda Event.
Tiket telah mula dijual dan tempat adalah terhad. Peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini boleh mendapatkan tiket melalui pautan rasmi https://blaviaofficial.com/pages/kristalog
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini