Categories: Berita Hiburan

“Kalau Buat Konten Berlari, Boleh Nampak Betis,” – ‘Lina Kepom’ Usaha Jaga Batas Aurat, Ustaz Azli Dedah Rahsia Stoking Putih Elly Mazlein

Share

Keputusan personaliti televisyen, Elly Mazlein untuk konsisten memakai stoking putih rupa-rupanya bukan sekadar pilihan gaya.

Sebaliknya, ia merupakan langkah yang dibuat dengan penuh pertimbangan bagi menjaga batas aurat serta mengelakkan salah faham.

Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Merry Go Round itu ketika sesi perbualan bersama Pengetua Maahad Ar-Raudhah (MARDHAH), Mohd Azli Abdullah dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok.

Dalam sesi berkenaan, Elly turut berkongsi cabaran menjaga aurat sebagai seorang pempengaruh yang aktif menghasilkan pelbagai kandungan.

Antaranya termasuk aktiviti santai yang kadangkala melibatkan pergerakan seperti berlari.

Menurut Elly, pemilihan stoking putih merupakan cara paling jelas untuk mengelakkan fitnah atau andaian yang tidak tepat, khususnya apabila pergerakan dalam video berpotensi menyebabkan bahagian betis kelihatan walaupun aurat sebenarnya telah ditutup.

“Kita nak mengelakkan fitnah. Saya sejenis manusia yang lain daripada yang lain. Kalau saya buat konten dan berlari santai, sampai boleh nampak betis.

“Jika saya pakai stoking warna kulit, ia akan menimbulkan fitnah, dan penat saya hendak menjelaskan bahawa saya sebenarnya memakai stoking.

“Jadi, bila saya pilih stoking putih, orang sudah tidak bertanya apa-apa lagi kerana semuanya sudah jelas,” jelasnya.

Sokongan ‘Senyap’ Suami Jadi Kekuatan

Selain isu aurat, video yang sama turut memaparkan momen peribadi yang menyentuh hati apabila Elly berkongsi bentuk sokongan moral yang diterima daripada suaminya sejak mula berhijab.

Sokongan tersebut disifatkan sebagai dorongan paling ‘senyap’ tetapi memberi kesan yang besar dalam hidupnya.

“Ustaz, tanpa kata-kata, kita mendapat kucupan yang hangat di dahi. Tidak cakap banyak, tahu-tahu dah kena cium di dahi. Beliau (suami) bagi sokongan yang sangat manis,” ujarnya lagi.

Mengakhiri sesi perbualan itu, Ustaz Mohd Azli turut mengajak orang ramai mengambil iktibar daripada kesungguhan Elly dalam menjaga aurat, sambil mengingatkan bahawa ketenangan hati juga hadir apabila batas dipelihara.

“Jom kita ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang,” katanya.

Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya menyokong tindakan Elly serta mendoakan agar perjalanan penghijrahannya terus dipermudahkan.

Terdahulu, penampilan Elly berhijab ketika mengacarakan pentas akhir Kilauan Emas 2025

pada Oktober tahun lalu turut menjadi perhatian ramai.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

@ustazazli Ingat stoking bola tadi, rupanya stoking penyelamat fitnah! 😆 Jom ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang. ❤️ @Kakak Lina Pom Poms #TikTokDakwah #KakLina #MaahadArRaudhah #StokingPutih #Aurat ♬ original sound – UST AZLI
Published by
MH