
Penyanyi Nubhan menolak dakwaan dirinya merupakan ‘anak emas’ juri atau produksi Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) selepas kerap menerima markah tinggi setiap minggu.
Menurut Nubhan, persepsi tersebut tidak berasas kerana apa yang dilakukan hanyalah memberikan fokus penuh terhadap setiap persembahan.
“Ketika bertanding, saya berikan komitmen 100 peratus. Saya tak pandang program ini seperti main-main. Saya rasa peserta-peserta lain turut sama berikan persembahan terbaik.
“Bagi saya pula, kalau anda nak tahu, habis sahaja konsert, keesokkan paginya saya sudah mulakan latihan. Dalam seminggu itu juga, saya beberapa kali pergi kelas vokal.
“Kalau nak kata saya ini anak emas, mungkin tidak. Kalau betul anak emas, setiap minggu saya dapat nombor satu,” katanya kepada MH.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-6 itu ditemui pada konsert minggu ke-6 GV12, baru-baru ini.
Menjelaskan pendekatan yang digunakan sepanjang bertanding, Nubhan berkata dia memilih untuk kekal autentik dan tidak mengubah identiti nyanyiannya meskipun perlu membawakan lagu di luar zon selesa.
“Biasalah bila dalam pertandingan, kita tidak akan bawa lagu atau genre yang kita selesa. Memang mereka mahu lihat kelainan dan sisi lain daripada setiap peserta.
“Namun, saya tidak akan cuba menjadi orang lain. Bila bawa lagu balada atau fast numbers, saya tetap akan menjadi diri saya sendiri,” ujarnya lagi.
Pada minggu lalu, Nubhan mencuri perhatian juri dengan persembahan lagu Aladin (Spider) sehingga berjaya meraih markah tertinggi 74.00 peratus.
Mengulas lanjut, Nubhan mengakui kedudukan nombor satu itu langsung tidak dijangka memandangkan peserta lain turut tampil dengan persembahan bertenaga.
“Saya gembira bila dapat nombor satu. Setiap minggu saya cuba fokus dan buat yang terbaik. Saya tak jangka pun akan berada di posisi ini. Ada ramai lagi peserta yang hebat dalam program ini.
“Bila tengok sahaja mereka menyanyi, mesti saya akan rasa ‘insecure’. Namun, saya tetap percaya dengan diri saya dan terus fokus dengan persembahan saya sahaja.
“Setiap komen juri itu saya akan ambil berat. Nak ubah 100 peratus mungkin agak susah. Jadi, saya cuma pastikan kesalahan sama tidak berulang,” katanya.
Dalam masa sama, Nubhan menyifatkan semangat dan sokongan anak-anak menjadi sumber kekuatan yang mendorongnya untuk bekerja lebih keras di GV12.
“Melihat semangat anak-anak sahaja, saya tahu mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada saya. Ketika rehearsal, saya bawa mereka sekali.
“Mereka memang teruja. Siap sakan menari lagi. Itulah gambaran bagaimana mereka menyayangi saya. Bila anak-anak lihat, ia seperti tiada orang lain dah di dalam dunia ini.
“Dari situ saya jadikan ia sebagai semangat dan kekuatan,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.