
Pelakon, Puteri Sarah meluahkan rasa syukur kerana berjaya mengekalkan hubungan harmoni bersama bekas suami yang juga pengarah, Syamsul Yusof, khususnya dalam hal melibatkan anak-anak.
Menurut Puteri Sarah, mereka kini lebih matang dalam menyelesaikan masalah dan sebolehnya mengelak daripada bertelagah.
“Alhamdulillah, setakat ini hubungan kami sangat baik. Syamsul juga kerap berjumpa dengan anak-anak. Kami jalankan peranan masing-masing.
“Pada saya, kalau kita nak hidup tenang, kita kena ada hubungan yang baik. Jangan bergaduh, bermasam muka dan tak bertegur sapa.
“Hal seperti itu bukan sahaja menyulitkan kita tapi juga anak-anak. Kalau boleh, saya nak semuanya baik-baik sahaja. Saya juga dapat sokongan yang baik daripada keluarga mentua.
“Kita juga kena jaga kesihatan mental. Kalau asyik bergaduh, boleh jadi gila. Bila gila, apapun kita tak boleh buat,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Polis Peronda ini berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Puteri Sarah memaklumkan dirinya kini lebih sibuk dengan jadual kerja sehingga membuatkan namanya kurang menonjol di media sosial sejak kebelakangan ini.
“Ketika ini, apa sahaja yang kita lakukan akan menjadi perhatian. Kalau kita terlalu kerap bersuara, nanti orang kata kita juga nak menumpang isu.
“Lagipun, saya kini sibuk dengan jadual kerja. Biarlah kita sibuk dengan hal kita sendiri daripada ambil tahu fasal orang lain,” ujarnya lagi.
Katanya, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk lebih memilih ketenangan berbanding kontroversi.
“Dahulu, saya lantang disebabkan ada isu yang berbangkit. Saya memperjuangkan hak wanita dan diri sendiri. Ketika ini, saya memilih untuk tidak terlalu menonjol.
“Saya lebih memilih ketenangan dan fokus pada kerja, perniagaan dan anak-anak. Saya pernah terpalit dengan isu yang besar sehingga menjadi perhatian ramai.
“Bila jadi perhatian, ada baik dan buruknya. Namun, saya tak lari daripada industri. Masih lagi aktif. Cuma saya tak nak jadi tumpuan disebabkan hal-hal yang tidak sepatutnya,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini