
Pelawak dan usahawan, Shuib, mengakui dia mengambil masa yang agak lama sebelum menerima tawaran menyertai program realiti terbaharu, Talk To My Manager, bersama anak perempuannya, Thalita.
Menurut Shuib, usia Thalita yang masih muda membuatkan beliau perlu menjelaskan secara terperinci tentang cabaran sebenar yang bakal dilalui dalam pertandingan tersebut.
“Saya terima tawaran ini agak lama juga dan saya mengambil sedikit masa untuk membuat keputusan.
“Keutamaan saya adalah kepada Thalita. Saya beri dia tempoh dua minggu untuk buat keputusan.
“Saya bagitahu Thalita, program ini tidak mudah dan dia juga bakal menjadi peserta termuda.
“Pertandingan ini akan ada drama, tekanan, kerja keras, disiplin dan perlu sentiasa berada di dalam zon pertandingan.
“Saya maklumkan kepada dia juga, jika awak betul-betul bersedia, daddy boleh buat sama-sama dengan awak. Jadi, dia pun bersetuju dan kami sertai program ini,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, pengacara Dol’s Podcast ini turut berkongsi bahawa Thalita menunjukkan perkembangan positif sejak memulakan kerjaya nyanyian secara lebih serius bermula Disember tahun lalu.
“Kalau ikutkan, Thalita baru mula menyanyi tak sampai setahun. Dia mula menyanyi pada Disember tahun lalu.
“Sebelum ini, dia ada menyatakan hasrat untuk menyanyi tapi mungkin belum dapat keberanian itu.
“Bila dapat peluang menyanyi di Bukit Bintang, dia mula ada keberanian. Saya tengok progresnya sangat cepat. Sebab itu saya beranikan diri untuk sertai program ini bersamanya,” ujarnya lagi.
Meskipun Thalita kini disebut-sebut sebagai calon juara, Shuib tetap menasihatinya agar tidak terlalu selesa dan memberi fokus sepenuhnya sepanjang pertandingan.
Dia juga akan menggunakan segala pengalamannya dalam dunia pertandingan untuk membimbing anaknya.
“Thalita masih muda dan ini merupakan program realiti pertama di dalam hidupnya. Ini adalah peluang yang bagus untuk Thalita belajar kerana perjalanannya masih jauh.
“Kalau ada rezeki untuk sampai ke final dan bergelar juara, saya anggap itu rezeki Thalita sebab arwah ibunya selalu cakap, dia selalu tidak bernasib baik dalam pertandingan.
“Arwah Sarah pernah menang pertandingan sekali sahaja. Sama juga seperti AJL, dia terpaksa tunggu berpuluh tahun untuk berada di pentas itu menerusi lagu Semakin.
“Sebaliknya, saya pula ada ‘luck’ bila bertanding. Saya suka pertandingan. Sebab itu saya faham situasi pertandingan. Kita memang perlu berhabis-habisan.
“Kalau kita tak lalui momen sedih dan menangis, ia bukan real. Pertandingan yang saya lalui ada momen-momen seperti itu. Bila saya menang, semua perasaan itu terbayar. Penat lelah itu hilang,” akhirinya.
Talk To My Manager akan mula bersiaran pada setiap Ahad, bermula 24 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria. Ia turut boleh distrim secara On Demand menerusi Astro Go dan sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini