Berita

“Kalau Abah Masih Ada, Mesti Dia Akan Peluk Cium Saya Berkali-Kali,” – Menang RM100,000… Iskandar Ismail Mahu Sumbang Sebahagian Pada Yang Memerlukan

Share

Penyanyi Singapura, Iskandar Ismail mendedahkan dia tidak dapat menahan sebak apabila namanya diumumkan sebagai juara program realiti Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), malam tadi.

Menurut Iskandar, kejayaan tersebut tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu isterinya, Norazura Mohamad Ismail, yang sentiasa menjadi tulang belakang serta pencetus idea untuk dirinya menyertai GV12.

“Saya sebenarnya tak nak masuk GV12 ini. Namun, isteri meyakinkan saya untuk masuk ke program ini. Bila nama saya diumumkan sebagai pemenang dan saya dapat lihat reaksi isteri saya, saya jadi agak sedih.

“Dia banyak mendoakan saya semoga segala urusan saya lancar. Alhamdulillah, saya anggap perjalanan di GV12 ini sangat berbaloi. Saya sangat gembira.

“Sebenarnya saya tak sangka akan dinobatkan sebagai juara. Ketika nama saya diumumkan sebagai juara, saya tak tengok pun skrin. Bila dengar sorakan peminat saya jadi sebak,” katanya kepada MH.

Iskandar berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Final GV12 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Arwah Bapa Jadi Sumber Kekuatan

Dalam pada itu, Iskandar turut meluahkan rasa kemenangan ini pasti lebih bermakna sekiranya arwah bapanya yang juga penyanyi, Allahyarham R. Ismail, masih ada di sisinya.

“Kalau arwah abah masih ada, mesti dia akan peluk dan cium saya berkali-kali. Bila saya solat, saya selalu titipkan doa buat arwah. Hadiah kemenangan ini adalah untuk arwah juga.

“Saya punyai banyak kenangan manis bersama arwah. Ketika saya sertai pertandingan nyanyian di Singapura, arwah tak bagi banyak tunjuk ajar dari segi teknik nyanyian. Mungkin arwah tahu kemampuan saya.

“Jadi, dia banyak berikan kata-kata semangat dan cara melembutkan nyanyian. Walaupun saya tak menyanyikan lagu tradisional dan lebih memilih rock dan balada, dia tetap menerima bakat saya dengan ikhlas,” kongsinya lagi.

Kembali Aktif Menyanyi

Penyanyi lagu Menantimu Di Sana ini turut pasang niat untuk menyumbangkan sebahagian daripada hadiah kemenangan bernilai RM100,000 kepada golongan yang memerlukan.

“Saya berhajat untuk membantu mereka yang memerlukan. Jadi, sebahagian daripada duit kemenangan ini akan disumbangkan kepada anak-anak yatim dan badan-badan kebajikan di Singapura atau Malaysia.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi juara di sebuah program nyanyian di Singapura dan sebahagian daripada hadiah kemenangan, saya sumbangkan kepada pertubuhan kanser,” kongsinya.

Selain itu, Iskandar mengakui dirinya kini bersedia untuk kembali bergiat aktif dalam dunia seni suara dan telah merakamkan beberapa buah lagu sebagai langkah awal perjalanan baharunya.

“Saya sudah merakamkan sebuah lagu OST bersama Idayu yang berjudul Mahal. Malah, saya juga sudah merakamkan semula lagu Pulanglah nyanyian Aisyah untuk versi lelaki.

“Buat masa sekarang, saya tidak akan terus menetap di Malaysia. Saya akan berulang alik. Jika ada projek yang lebih besar, saya akan menetap di Malaysia.

“Saya tak rasa usia saya sudah terlambat untuk kembali bergiat aktif dalam dunia nyanyian. Selagi saya ada tenaga dan tak sakit, saya akan buat yang terbaik dan sentiasa belajar,” akhirinya.

Iskandar tampil cemerlang menerusi tiga persembahan di pentas akhir sekali gus meraih markah tertinggi sebanyak 78.10 peratus.

Kemenangan tersebut melayakkan Iskandar membawa pulang hadiah utama berjumlah RM100,000 berserta trofi dan set perabot selain hadiah iringan lain.

GV12 bersiaran secara langsung dari MBSA Shah Alam bermula 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam, menerusi Astro Ria (saluran 104).

Program ini juga boleh ditonton secara strim On Demand melalui Astro GO dan sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf