Categories: Berita Hiburan

June Lojong Cerita Tulisan Banduan Sebenar, Dalami Watak Demi ‘Polong’ – “Aku Tak Nak Buat Lagi, Mak Tunggu Adik Balik.”

Share

Pelakon June Lojong menyifatkan watak Maria Hadi yang dibawanya menerusi filem seram psikologi terbaharu, Polong sebagai pengalaman paling mencabar sepanjang karier seninya setakat ini.

Menurut June, watak tersebut bukan sekadar memerlukan penghayatan tinggi, malah ia turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada dirinya.

Tambah June lagi, set penggambaran yang suram dan realistik di dalam penjara misalnya, membuatkan dirinya cuba untuk menyelami perasaan seorang banduan dihimpit rasa bersalah dan ketakutan menjelang hukuman dengan sebaik mungkin.

“Pengalaman berlakon di dalam sel benar-benar buat diri kita rasa insaf. Dalam setiap sel yang telah lama dikosongkan itu, mesti ada tulisan-tulisan sebenar banduan.

“Kebanyakan ialah ayat yang menginsafkan, seperti ‘aku tak nak buat lagi’, ‘mak tunggu adik balik’, ada yang menulis mengenai keluarga juga.

“Banyak tulisan yang menggambarkan rintihan dan penyesalan. Lukisan dan ayat pun ada, macam-macam,” katanya.

June turut menjelaskan, watak Maria Hadi diinspirasikan daripada kes yang pernah tular sebelum ini, namun ia bukan bertujuan mengungkit kisah sebenar atau membuka luka lama.

Baginya, filem ini lebih kepada membuka ruang perbincangan tentang kuasa, pilihan manusia dan penyesalan.

Malah karakter berkenaan dibentuk tanpa meniru mana-mana individu.

“Bagi mempersiapkan diri, saya tengok footage lama, baca kes-kes terdahulu, tapi saya tak mahu tiru gaya atau rupa sesiapa. Saya cuma nak faham emosi yang dialami wanita itu.

“Pengarah, Zulkarnain Azhar mahu watak itu dibentuk sebagai cerminan manusia yang berada di hujung tekanan, bukan sekadar antagonis.

“Dia juga selalu ingatkan saya, Maria bukan jahat. Dia cuma manusia yang tersesat dalam dunia ciptaannya sendiri,” katanya lagi.

‘Terikat’ Dengan Karakter & Diganggu Mimpi?

Dalam pada itu, June tidak menafikan dirinya pernah ‘terbawa’ karakter tersebut sehingga pulang ke rumah dan diganggu mimpi.

“Saya jenis yang kalau watak tu ‘intense’, memang susah nak ‘switch off.’ Kadang-kadang bila balik rumah, rasa lain macam.

“Pernah juga mimpi nampak lembaga hitam, tapi itu mungkin sebab badan terlalu penat dan terlalu mendalami watak,” katanya lagi.

Antara babak paling meninggalkan kesan terhadap dirinya adalah adegan pertemuan terakhir Maria bersama anaknya.

“Babak tu betul-betul menekan emosi. Saya tak boleh pura-pura menangis sebab air mata tu datang sendiri. Dia tahu itu kali terakhir mereka berjumpa.

“Apa pun, saya tak nak orang tengok filem ni semata-mata untuk takut. Saya nak penonton faham sisi manusia yang hilang arah kerana obsesi dan cinta,” tambahnya.

Isteri kepada aktor Namron itu turut menyifatkan Polong bukan sekadar projek lakonan biasa, sebaliknya satu perjalanan penuh spiritual.

“Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan pengarah dan pasukan produksi yang sangat menghormati proses seni.

“Harapan saya, Polong bukan hanya diterima penonton tempatan tapi juga dapat ke pentas festival seperti Festival Filem Malaysia,” katanya lagi.

Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang terjerumus dalam amalan ilmu hitam dan dosa lampau, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.

Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong tersebut menuntut balas selepas kematiannya, dan sumpah laknat itu perlu ditanggung oleh pewarisnya.

Filem ini turut dibintangi Mimi Lana, Fad Anuar, Nam Ron, Nadiya Nisaa dan ramai lagi. Polong dijangka menemui penonton pada 2026.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH