Categories: Hiburan

John Cena Rasmi Bersara, Tamatkan Kerjaya Lebih Dua Dekad Dalam WWE

Share

Legenda gusti profesional dunia, John Cena, secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada arena gusti selepas menamatkan perlawanan terakhir dalam kerjayanya pada 13 Disember 2025.

Perlawanan tersebut berlangsung dalam acara khas Saturday Night’s Main Event di Washington, D.C., sekali gus menutup tirai perjalanan lebih dua dekad Cena sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah World Wrestling Entertainment (WWE).

Cena, 48, mengakhiri kemunculannya dengan simbolik meninggalkan but serta wristband di tengah gelanggang, satu tradisi yang sering dikaitkan dengan penamat kerjaya dalam dunia gusti profesional.

Sepanjang penglibatannya sejak membuat debut pada 2002, Cena mencipta pelbagai pencapaian cemerlang termasuk memenangi 16 kejuaraan dunia WWE, sekali gus menyamai rekod legenda Ric Flair, selain menjadi wajah utama syarikat tersebut dalam era kebangkitannya di peringkat global.

John Cena bersama Amy Schumer dalam filem Trainwreck.

BACA JUGA: John Cena & Kim Kardashian Antara Yang Terbang Ke Mumbai, Rai Perkahwinan Mewah Anak Billionaire India!

Beliau sebelum ini telah mengumumkan hasrat untuk bersara sejak tahun lalu dan menjalani jelajah perpisahan sepanjang 2025 sebagai penghargaan kepada peminat yang setia mengikuti kerjayanya.

Walaupun tidak lagi aktif bertanding, Cena dijangka terus terlibat bersama WWE dalam kapasiti lain termasuk sebagai duta, mentor serta terlibat dalam aktiviti promosi dan pembangunan bakat baharu.

Di luar gelanggang gusti, Cena kini aktif dalam industri perfileman Hollywood sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai ikon hiburan global yang digemari rami.

Persaraan John Cena menandakan berakhirnya satu era penting dalam landskap gusti profesional dunia, namun legasi serta pengaruhnya diyakini akan terus dikenang dalam sejarah WWE.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA