
Meskipun tiada syarat khusus untuk menulis atau menghasilkan sesebuah lagu raya, penyanyi, Syamel berpendapat para penyanyi tetap perlu menjaga sensitiviti dalam setiap karya yang dihasilkan.
Menurutnya, sekiranya sesebuah karya dianggap terlalu ekstrem atau bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia, aduan kepada pihak berwajib dirasakan wajar dan ia perlu dilakukan melalui saluran yang betul.
“Tidak dinafikan ramai penyanyi yang melancarkan lagu raya pada tahun ini termasuklah para influencer (pempengaruh). Namun, saya belum sempat nak mendengarkan lagu-lagu mereka.
“Ketika ini, kita tiada sebarang syarat khusus untuk menulis atau mencipta lagu-lagu raya. Pada saya, kita raikan sahaja. Kalau lagu itu best, dengarlah.
“Jika tak best atau melanggar perkara-perkara yang tidak sepatutnya, buatlah aduan di saluran yang betul,” katanya.
Syamel berkata demikian ketika ditemui bersama isterinya, Ernie Zakri, di majlis pelancaran single raya terbaharu mereka berjudul Suasana Raya yang berlangsung di IOI City Mall, baru-baru ini.
Lagu Suasana Raya adalah sebuah duet istimewa Syamel dan Ernie yang turut mendapat kerjasama daripada Hong Kong Tourism Board.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Beribu Tanda Tanya ini menegaskan setiap karya yang baik harus diraikan dan diberi peluang untuk sampai ke telinga pendengar.
“Bagi saya dan Ernie, bila ramai artis yang mengeluarkan lagu raya, ia akan memeningkan pendengar kerana mereka kini punyai banyak pilihan. Kami tiada sebarang masalah dengan orang lain.
“Kami akan sentiasa meraikan karya yang baharu dan bagus,” ujarnya lagi.
Mengulas dakwaan segelintir pihak yang berpendapat lagu raya masa kini kurang berkualiti dan tidak mampu menandingi karya terdahulu yang masih malar segar, Syamel berpandangan setiap penyanyi pastinya mengimpikan karya mereka menjadi evergreen.
“Pada saya, semua orang mahukan lagu mereka menjadi malar segar. Namun, ada kalanya kita tak terkejar. Malah, penyanyi-penyanyi terdahulu pun, mereka tak buat sesuatu lagu itu menjadi evergreen.
“Mereka hanya buat apa yang mereka rasakan sesuai pada waktu itu. Kita lihat sahaja penyanyi-penyanyi seperti De Fam, Aisha Retno dan Mimi Fly, lagu-lagu raya mereka meletup dan menjadi pada tahun lepas.
“Namun, mereka tetap melancarkan lagu raya baharu pada tahun ini. Ini yang kami lalukan. Kami memang suka berkarya. Semuanya kami buat untuk pendengar,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai kritikan terhadap pelancaran lagu raya pada awal Ramadan, Syamel menjelaskan setiap artis mempunyai perancangan tersendiri, khususnya dalam menyusun strategi promosi.
“Bila artis melancarkan lagu raya di awal
Ramadan, ada yang menganggap ia perkara sensitif. Pada saya, semua orang bebas untuk melakukan apa sahaja perkara yang mereka mahukan asalkan kita menghormati perkara yang sepatutnya.
“Pada saya, para artis juga perlu merancang jadual projek mereka. Jika semua artis melancarkan lagu raya pada hujung Ramadan, ia agak susah juga. Bila lancar lagu, sudah tentu kita perlukan waktu untuk promosi.
“Asalkan proses promosi itu masih menghormati bulan Ramadan, saya rasa ia tidak akan menimbulkan masalah.
“Malah, kami juga sentiasa menyokong karya-karya baharu. Setiap malam, saya dan Ernie akan dengar dan tonton lagu-lagu raya baharu ini,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini