
Pelakon terkenal Hollywood, Jessica Alba, mengakui beliau terkilan dan menyesali adegan bogel yang terpaksa dilakonkannya dalam filem Fantastic Four kira-kira 20 tahun lalu.
Jessica, 43, berkata adegan berkenaan yang memaparkan watak Sue Storm muncul tanpa seurat benang selepas kehilangan kuasa halimunannya di tengah-tengah kesibukan jambatan dibuat ketika beliau masih muda dan tidak mempunyai keberanian atau kuasa untuk menolak arahan produksi.
Menurutnya, beliau mengalami tekanan emosi yang berat berminggu-minggu selepas penggambaran kerana dibesarkan dalam keluarga yang konservatif, selain mempunyai pegangan nilai yang tegas berkaitan soal pendedahan tubuh.
Imbas semula penggambaran babak bogel itu, Jessica mengakui, “Saya benci babak tersebut ketika mereka membawa watak itu kembali di atas jambatan dan dia terpaksa berbogel di atas jambatan.
“Ia sangat teruk dan amat memalukan dalam kehidupan sebenar, kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang agak konservatif, dan saya seorang yang pemalu. Jadi apabila diminta melakonkan babak itu, saya hanya mampu berkata, Oh tidak, bukan yang ini.’”
BACA JUGA: Jessica Alba & Cash Warren Berpisah Selepas 16 Tahun Berkahwin
Jessica turut menyatakan bahawa walaupun watak Sue Storm digambarkan sebagai wanita kuat dan menjadi kompas moral dalam pasukan adiwira berkenaan, proses pembikinan filem itu menggambarkan betapa kurangnya kepekaan industri pada ketika itu terhadap kebajikan serta batas peribadi pelakon wanita.
Perkara tersebut dikongsikan oleh ibu kepada tiga cahaya mata ini ketika menghadiri Red Sea International Film Festival yang bertempat di Jeddah, Arab Saudi.
Imbas kembali, filem yang ditayangkan 20 tahun lalu itu mengisahkan saintis Reed Richards, angkasawan Ben Grimm, pakar genetik Sue Storm dan adiknya Johnny Storm yang memperoleh kuasa luar biasa selepas pendedahan kepada sinaran kosmik semasa misi angkasa lepas.
Keempat-empat mereka kemudian berubah menjadi Mr. Fantastic yang boleh meregangkan tubuh, Invisible Woman yang tidak dapat dilihat, Human Torch yang mampu menyala dengan api, serta The Thing yang bertubuh batu.
Kuasa itu memaksa mereka bersatu sebagai adiwira untuk menghalang bekas penaung mereka, Victor von Doom, daripada menakluki bumi. Selain Jessica filem itu turut dibintangi oleh Chris Evans, Michael Chiklis, Ioan Gruffudd dan Julian McMahon.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan