Categories: Hiburan

Jesse Eisenberg Ambil Keputusan Derma Buah Pinggang Kepada Individu Tidak Dikenali

Share

Pelakon Hollywood terkenal, Jesse Eisenberg mengesahkan akan mendermakan salah satu buah ginjalnya kepada individu yang tidak dikenalinya dalam masa terdekat.

Eisenberg, 42, menyatakan bahawa pendermaan tersebut akan dilakukan secara non-directed living donation, iaitu kepada penerima yang tiada pertalian keluarga atau hubungan peribadi dengannya.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas melalui proses penilaian kesihatan dan kelayakan selama beberapa tahun. Prosedur pembedahan dijangka berlangsung sekitar pertengahan Disember tahun ini.

Eisenberg memaklumkan, hasrat untuk menderma organ telah terdetik sejak hampir 10 tahun lalu, namun hanya kini dapat direalisasikan selepas melalui semua ujian perubatan yang diperlukan.

BACA JUGA: Penulis Buku Terkenal “I Want To Die But I Want To Eat Tteokbokki” Meninggal Dunia, Derma Organ Kepada Lima Pesakit

Menurut laporan media antarabangsa, Eisenberg turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut tercetus selepas beliau aktif menderma darah dan menyedari kesan besar yang boleh diberikan melalui sumbangan sebegitu.

Beliau turut menegaskan bahawa prosedur berkenaan adalah selamat dan diperlukan oleh ramai pesakit di seluruh dunia yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan organ yang sesuai.

Selain itu, Eisenberg menyertai program pendermaan yang membolehkan ahli keluarganya mendapat keutamaan sekiranya mereka memerlukan pemindahan ginjal pada masa hadapan melalui sistem voucher yang ditawarkan.

Imbas kembali, Eisenberg memulakan kerjaya dalam dunia hiburan sejak berusia 13 tahun lagi dengan membintangi siri televisyen berjudul Get Real. Beliau pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Academy pada tahun 2011 menerusi lakonannya dalam filem The Social Network.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA