
Penyanyi yang semakin mencuri perhatian, JessC, terus mengekalkan momentum cemerlang apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Best Asian Pop menerusi lagu popularnya My Style di InterContinental Music Awards 2025 (ICMA) yang berlangsung di Los Angeles, baru-baru ini.
Kejayaan ini membuktikan bahawa JessC bukan sahaja popular di Asia, malah turut mencipta nama di pentas muzik antarabangsa.
Album Mandarinnya, My Style, berjaya menawan hati peminat di China dengan pencapaian cemerlang di carta penstriman dan radio.
Manakala album Melayu berjudul Dekati mencetuskan fenomena “Demam JessC” di Indonesia.
Tidak ketinggalan, single Inggerisnya, Six Feet Deep, turut menembusi pasaran Barat apabila dimainkan di stesen radio ternama seperti Z-100 New York, Virgin Radio Vancouver, dan KIIS FM Sydney.
ICMA sendiri diiktiraf sebagai salah satu anugerah muzik antarabangsa paling berprestij, dengan barisan juri terdiri daripada pakar industri muzik dunia yang pernah bekerjasama dengan artis besar seperti Celine Dion, Selena Gomez dan Ricky Martin.
Karya JessC dipuji kerana keunikan serta keupayaannya menyatukan muzik Timur dan Barat dengan cara luar biasa.
JessC meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan menganggap pengiktirafan itu sebagai penghargaan buat semua pihak yang menyokong perjalanan muziknya.
“Muzik ialah kuasa penyembuhan yang menghubungkan hati dan melangkaui budaya. Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini, dan anugerah ini adalah milik semua yang menyokong muzik kami,” katanya.
Mengikut perancagan, JessC juga bakal memulakan kempen promosi global untuk single terbarunya, One Chance, bermula September ini di Amerika Syarikat, sebelum diteruskan ke Eropah dan Amerika Selatan dengan sasaran ke 50 negara serta 100 bandar utama menjelang akhir tahun.
Bagi peminat tempatan, mereka boleh menantikan My Style World Tour Concert yang akan berlangsung pada 20 Disember 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, selepas kejayaan konsert habis terjual di Genting Arena of Stars pada Mei lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini