Categories: Hiburan

“Jantung Saya Ibarat Sudah Jatuh…,” – Amad Tetap Teruskan Persembahan ‘Live’ Selepas Jatuh Pengsan, Ini Penjelasan Siti Sairah

Share

Meskipun tidak berapa sihat dan pengsan satu jam sebelum membuat persembahan, semangat juang yang ditunjukkan oleh penyanyi cilik, Amad Dayyan di konsert minggu ke-4 Talk To My Manager (TTMM) wajar diberikan pujian.

Menurut ibunya yang juga penyanyi, Siti Sairah, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu berjaya mengumpul kekuatan untuk tetap meneruskan persembahan.

“Sebenarnya Amad mula rasa tak sihat sejak tengah hari Ahad. Mungkin juga sekarang musim demam. Namun, saya tak sangka yang dia boleh jatuh pengsan satu jam sebelum persembahan.

“Jantung saya ibarat sudah jatuh dan saya tak tahu nak buat macam mana. Alhamdulillah, Amad dapat kembali kumpul kekuatannya.

“Ada ayah, babah dan kakaknya yang beri semangat. Alhamdulillah, dia berjaya meneruskan persembahan,” katanya kepada MH selepas berakhir konsert.

Pada masa sama, Saerah turut mengulas mengenai keadaan Amad yang dilihat seakan tidak mampu berdiri sewaktu segmen penyingkiran.

“Kakinya cramp. Saya rasa dia mengalami demam saraf. Seperti kita dapat lihat sewaktu segmen penyingkiran, demam itu seakan ‘tangkap’ sendi-sendinya.

“Mungkin, sehari sebelum persembahan, dia ada terkena hujan. Mungkin sebab itu badannya jadi tak sihat dan penat,” kongsinya lagi.

Semangat Juang Berbuah Kejayaan

Ditanya mengapa Amad tetap meneruskan persembahan meskipun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Saerah memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas berbincang bersama tenaga pengajar.

“Cikgu Shafi dan Cikgu Daus ada berbincang dan bersembang hati ke hati bersama Amad. Sama ada dia nak meneruskan persembahan atau tidak.

“Mungkin disebabkan semangatnya dan rasa tanggungjawab, dia nak teruskan juga persembahan ini,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, adik kepada penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini akui teruja apabila anaknya itu berjaya meraih tempat pertama meskipun selepas melalui pelbagai ujian.

“Saya rasa itu satu pencapaian untuk Amad. Minggu ini, dia memang berazam untuk kembali dapat kedudukan pertama. Alhamdulillah dia berjaya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai jadual kerja Amad yang dikatakan agak padat, Sairah menjelaskan segala jemputan persembahan sebenar telah dipersetujui sebelum menyertai program TTMM.

“Sebenarnya segala tawaran persembahan melibatkan Amad telah kami terima sebelum menyertai TTMM. Segalanya sudah dipersetujui lebih awal.

“Jadi, saya nak menolak pun tak boleh. Saya juga selalu bertanya kepada Amad, adakah dia okay atau nak teruskan persembahan? Mungkin atas rasa tanggungjawab, dia nak teruskan juga.

“Namun, kita tak boleh nak mengelak atau jangka bila kita nak sakit. Segalanya terjadi dengan tak disangka-sangka. Alhamdulillah dia kuat semangat. Minggu ini dia perlu berehat,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf