Categories: Berita Hiburan

“Jangan Kerana Orang Lain Kahwin, Kita Pun Nak Juga…,” – Syada Amzah Trauma Nak Bercinta Lagi, Shila Amzah Titip Nasihat Buat Wanita Muda

Share

Penyanyi, Shila Amzah tampil memberikan nasihat buat para wanita muda di luar sana, termasuk adiknya sendiri yang juga penyanyi, Syada Amzah, agar tidak terlalu terburu-buru dalam soal jodoh.

Menurut Shila, setiap individu perlu mempunyai perancangan yang jelas dalam mengatur kehidupan masing-masing tanpa dipengaruhi tekanan sekeliling.

“Saya terpanggil untuk memuat naik hantaran ini susulan kenyataan adik saya di Thread yang mengatakan dia takut untuk memberikan hatinya kepada orang lain.

“Kalau tak nak bagi, jangan bagi. Sebagai kakak kepada semua yang melihat video ini, saya nak bagitahu, ambillah masa anda sendiri.

“Jangan kerana ada orang yang berkahwin atau punyai teman lelaki, kita pun nak juga. Hanya kita yang boleh mencorakkan kehidupan sendiri.

“Memang perkara seperti ini menjadi doa, impian dan usaha kita tapi dalam masa sama saya tak nak melihat kita buat sesuatu perkara itu kerana nak ikut orang lain,” katanya.

Pandangan tersebut disuarakan oleh penyanyi lagu Patah Seribu itu menerusi sebuah hantaran video di TikTok, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Shila turut menyeru agar wanita muda tidak terlalu mengikut ekspektasi serta gaya hidup orang lain semata-mata kerana takut berasa ketinggalan.

“Jangan hidup ikut ekspektasi orang lain. Ia tidak berbaloi. Setiap manusia itu ada fasanya dan akan selalu disirami dengan pelbagai ujian dan rezeki yang berbeza.

“Tak semua rezeki itu sesuai untuk semua orang. Jangan tergopoh-gopoh. Jangan kerana sudah mencapai satu tahap umur, kita rasa kita perlu ada semua benda sekarang.

“Kita tidak akan pernah tahu rezeki kita. Namun itu tidak bermakna kita boleh berhenti berdoa, berusaha atau putus asa. Jangan buat begitu. Itu sudah dikira sabotaj diri sendiri,” ujarnya lagi.

Jangan Abaikan ‘Red Flag’, Pilih Dengan Bijak

Tambah Shila lagi, para wanita perlu lebih bijak dalam membuat pilihan dan tidak seharusnya mudah berpuas hati ketika menentukan pasangan hidup.

“Saya nak menasihatkan para wanita muda, kalau anda masih berusia 20-an, anda memang masih muda.

“Jangan kerana anda sudah memulakan satu perhubungan dengan seseorang dan dia sudah tunjuk banyak petanda red flag, anda tetap nak teruskan. Jangan sabotaj diri sendiri lebih jauh.

“Kadang kala, kita sering dibutakan dengan banyak perkara sampai tak boleh lihat mana yang betul dan salah. Ada kalanya kita juga tak nampak orang yang betul-betul ikhlas dengan kita. Pilih lingkungan rakan yang betul.

“Banyakkan bersabar. Uruslah jalan hidup kita sendiri. Pilihlah dengan bijak kerana ia akan menentukan apa yang kita akan peroleh esok,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Syada ada meluahkan perasaannya apabila memaklumkan dirinya agak trauma untuk kembali memulakan perhubungan baharu.

Malah, Syada turut meminta pandangan orang ramai mengenai cara untuk mengatasi perasaan tersebut.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram & Tik Tok Shila Amzah

Published by
Aizam Manaf