
Nama penyanyi Rayme Zainal pernah mencuri perhatian sebagai selepas melancarkan beberapa buah single selain pernah menjadi antara peserta program realiti, All Together Now Malaysia, empat tahun lalu.
Bagaimanapun kini, Rayme mulai melakar fasa baharu dalam kerjaya apabila semakin serius mengukuhkan kedudukan sebagai penganjur acara berprofil tinggi, sekali gus membuktikan kebolehan anak seni menguasai dunia perniagaan.
Walaupun memiliki portfolio karier dalam dunia seni, Rayme Zainal mengakui dia kini mahu memberikan lebih tumpuan kepada cabang rezeki lain pula.
Dia yang popular menerusi lagu Andai dan Close To You itu mendedahkan, kerjaya sebagai pengurus acara atau ‘EO’ menerusi syarikat miliknya iaitu Raydiates Blue Sdn. Bhd menjanjikan jaminan pendapatan tetap selain memiliki masa depan industri yang cerah di negara ini.
Tahun lalu misalnya, Raydiates sukses mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal iaitu sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025.
Acara tersebut difahamkan telah berjaya mencetuskan fenomena dengan menawarkan pelbagai pilihan produk pada harga berpatutan, sekali gus menarik lebih 1 juta pengunjung sepanjang 32 hari beroperasi.
Raydiates pada tahun lalu juga sibuk menganjurkan beberapa acara besar lain seperti Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 bersempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 selama lima hari di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malah aktiviti Fun Run juga menjadi bualan, selain kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada acara tersebut.
Bagi pembuka tirai 2026, Rayme turut bersedia menganjurkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC yang bakal melakar sejarah sebagai festival raya terbesar pertama apabila bakal dianjurkan di puncak tertinggi Putrajaya bermula 15 Februari depan selama 33 hari.
Jelas Raymie, pihaknya optimis mahu melangkah lebih jauh apabila menyasarkan penganjuran acara bertaraf nasional pada skala besar bermula tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negara ini.
Langkah ini juga bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni dan budaya pada tahun ini dengan sokongan daripada agensi kerajaan dan dengan kolaborasi bersama sektor korporat.
Festival ini menggabungkan keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Ia sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Putrajaya.
“Sejajar dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), pihak kami berharap akan memperluas kerjasama strategik bersama kementerian, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti kreatif.
“Ia bagi menjadikan acara-acara anjuran syarikat sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta platform pembangunan bakat belia dan kandungan kreatif berimpak tinggi di Malaysia dan peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.