
Apabila YouTuber dan jurusolek sensasi dunia, James Charles, beri rating 3/10 untuk NIMS Crispy Choco Tub, ramai ingat pengasas NIMS akan ‘sentap’ dan makan hati.
Ternyata andaian tersebut tidak tepat apabila pengasas jenama berkenaan, Tengku Norhanim Tengku Othman atau Hanim, membalas ulasan yang diberikan dengan cara paling berhemah.
“Tak semua tekak sama. Biasalah kalau ada yang tak suka. Tapi ramai rakyat Malaysia bagi rating 10/10 untuk NIMS. Kita sudah tembus pasaran 18 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Saya percaya kepada ‘Bad Marketing, Big Impact’. Jadi saya okey saja dan tak ambik hati dengan ulasan dia,” kata Hanim.
Hanim menambah, dia tetap bersyukur sebab dapat produk miliknya mendapat publisiti percuma daripada pempengaruh bertaraf global itu.
Malah, Hanim turut merancang nak hantar satu set kombo khas untuk James dan ajak berkolaborasi dengannya.
“Kalau dia terkenal dengan gambaran bersifat ‘fruity’, kami pula penuh warna-warni! Mana tahu James boleh reka kombo ikut citarasa dia.
“Packaging pun biar dia boleh pilih dan tentukan. Mana tahu boleh wujud kolaborasi NIMS X James Charles,” katanya.
Hanim memaklumkan yang pihaknya memang tidak tersinggung dan cukup terbuka menerima ulasan dilakukan James.
“Bukan mudah kita nak pelawa atau minta selebtiti mahupun individu terkenal mencuba produk ini. Jadi sebab itu, dari kerendahan hati yang dalam… Kami amat berterima kasih dan berbesar hati dengan ‘publisiti percuma’ diberikannya.
“Terima kasih untuk kesempatan dan masa yang amat indah buat kami. Tambah pula, kita tahu dia sangat energetik , penuh jenaka dan paling penting jujur dalam memberikan komen.
“Walaupun boleh makan hati dengan komen jujurnya, tapi itu sama sekali tidak pernah mematahkan semangat kami.
“Malah, kami lebih memikirkan dari sudut lebih luas untuk melakukan sesuatu yang berbeza dengannya,” katanya lagi.
Terdahulu, James memuat naik video ulasan pelbagai snek, makanan dan manisan termasuk produk NIMS Crispy Choco Tub di saluran YouTube miliknya pada 2 Ogos lalu.
Ketika artikel ini ditulis, video berjudul Mencuba Makanan Snek Viral dari Kedai TikTok mendapat lebih 22,000 tanda suka dengan tontonan melebihi 700,000.
Untuk rekod, jenama produk tersebut bukan calang-calang kerana pernah mendapat pengiktirafan hebat. Selain pernah diangkat sebagai Nona Best Crispy ChocoTub Award dalam Nona Superwoman Award 2022, jenama itu cemerlang di pengiktirafan lain.
Antaranya The Best Brandlaureate, Top 500 Trusty Brand Award (Majlis Tindakan Pengguna), AWEN AWARD (Asean Women Enterpreneur Network), IKSNITA Award (Women Young Enterpreneur), Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) serta The 100 Top Young CEO.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini