
Pengacara dan pereka fesyen Indonesia, Ivan Gunawan, mengakui dia amat menjaga soal waktu solat dalam rutin hariannya.
Tidak suka melengahkan, dia juga sentiasa memastikan solat ditunaikan dalam keadaan yang sempurna, bersih dan wangi.
“Saya tak suka melewatkan solat lima waktu atau sembahyang dalam keadaan terburu-buru.
“Saya suka solat di situasi yang selesa, wangi dan bersih,” katanya menerusi program audio siar bersama Daniel Mananta di YouTube.
Malah, Ivan turut merancang awal sekiranya perlu menghadiri sebarang acara, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
“Jika nak beribadah, saya sentiasa akan merancang dahulu tempatnya.
“Jika ada apa-apa acara lebih-lebih lagi pada waktu malam, saya akan fikirkan bagaimana solatnya nanti,” katanya lagi.
“Malah, rutin sebelum solat saya juga agak cerewet. Saya akan sembur minyak wangi di sejadah, mandi, tukar kain sarung, wangikan diri dan terlihat rapi.
“Hidup kita ini hari-hari dipenuhi glamor. Takkan nak jumpa Allah kita tidak kelihatan bagus?,” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut nyata memberi impak kepada ramai apabila warganet yang memenuhi ruangan komen dengan pujian dan rasa kagum terhadap pendekatan Ivan yang penuh adab.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuk;
“MasyaAllah, kisah ini banyak menginspirasikan banyak orang. Semoga apa yang disampaikan menjadi ladang pahala.”
“Kita berikan yang terbaik untuk Allah sebagai bukti cinta kita kepada-Nya.”
“Kerana inilah Allah memewahkan hidupnya.
“Seronok tengok Ivan yang sekarang. Sangat menenangkan.”
Terdahulu, kisah rohani Ivan menjadi lebih menyentuh hati selepas kepulangannya daripada menunaikan ibadah haji baru-baru ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Ivan Gunawan