Categories: Hiburan

Issey Syukur Sambung Kontrak, Ulas Bila Pelawak Jadi Penyampai Radio – “Saya Dan Fizi Banyak Bercerita Tentang…”

Share

Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham tampil mengulas isu melibatkan khidmat penyampai radio yang didakwa mudah ditamatkan meskipun masih terikat kontrak.

Menurut Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, sebagai pekerja kita harus sentiasa bersedia berdepan cabaran.

“Setiap pekerjaan ada cabaran yang tersendiri. Cabaran yang diduga dan tak terduga. Seperti saya yang bekerja di stesen radio THR Gegar, saya memang ikut apa kehendak pihak pengurusan dan sasaran pendengar kami.

“Stesen radio kami lebih tertumpu kepada pendengar daripada Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Jadi, saya banyak meneroka konten-konten untuk orang Pantai Timur.

“Malah, ramai juga perantau daripada negeri Pantai Timur,” katanya kepada MH ketika ditemui di majlis sidang media program Makar Fest, baru-baru ini.

Issey menambah, soal kontrak boleh dibincangkan bersama majikan bagi menentukan hala tuju kerjaya pada masa depan.

“Saya hanya fokus kepada diri sendiri sahaja. Sejujurnya, untuk hal-hal lain, siapa yang mengenali saya, mereka tahu saya ini bukanlah sejenis yang ambil tahu fasal orang lain.

“Saya sendiri pun tak tahu berapa lama lagi saya akan bekerja sebagai penyampai radio. Kita bekerja mengikut kontrak.

“Kebiasaannya, tiga atau empat bulan sebelum kontrak tamat, saya akan berjumpa dengan majikan untuk berbincang tentang perancangan masa hadapan.

“Adakah kontrak kita disambung atau tidak? Jadi, kita boleh buat perancangan lebih awal,” jelasnya memberikan pandangan peribadi.

Issey turut bersyukur apabila kontraknya dilanjutkan untuk dua tahun lagi.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja menyambung kontrak bersama selama dua tahun. Masih ada rezeki saya di sini. Saya pun selesa dengan pasangan saya iaitu Fizi.

“Kini, saya sudah sembilan tahun bergelar penyampai radio,” ujarnya.

Isu Pelawak Jadi Penyampai Radio

Mengulas keluhan segelintir pihak yang kurang senang dengan pelawak bergelar penyampai radio, Issey ada pendapat sendiri.

“Walaupun latar belakang saya bukanlah seorang penyampai radio, bila kita diberi kepercayaan, kita kena ikut kehendak industri penyiaran radio.

“Ketika di konti, saya kena ikut peraturan sebagai penyampai radio. Elemen lucu itu terjadi dengan sendirinya dan bukan dibuat-buat.

“Ada ketika, elemen lucu itu memang diperlukan. Saya dan Fizi banyak bercerita tentang sesuatu topik dan isu semasa bersama pendengar. Elemen lucu itu memang biasa terjadi.

“Sejak dahulu lagi, saya tidak meletakkan diri saya sebagai pelawak. Saya sedar itu bukanlah gelanggang saya. Saya tak kuat di gelanggang itu,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf