
Tiga bintang remaja popular, Hadie Elfardie, Auddra dan Ammar Haikal berganding tenaga sebagai Trio Mut menerusi lagu raya terbaharu, Dentam Dentum Raya.
Lagu terbitan Jaja Ishak Channel itu mengetengahkan konsep ceria yang berlatarkan persahabatan serta kemeriahan menyambut Syawal.
Menurut Auddra, lagu tersebut mengangkat kisah pengalaman menyambut Hari Raya bersama insan terdekat. Malah, dia turut diberi tanggungjawab menyanyikan bahagian rap dalam lagu berkenaan.
“Lagu ini menceritakan mengenai pengalaman Raya bersama kawan-kawan dan keluarga. Saya menyanyikan bahagian rap dalam lagu ini.
“Sepatutnya, bahagian rap itu penerbit nak minta Hadie atau Ammar nyanyikan, tapi akhirnya saya yang membawakan bahagian terbabit. Ini rezeki,” kata anak kepada pengacara Sharifah Shahirah ini.
Bagi Hadie Elfardie pula, dia bersyukur apabila peluang dalam bidang seni semakin terbuka selepas menyertai pertandingan sebelum ini.
Katanya, projek lagu raya tersebut amat bermakna kerana dapat bekerjasama dengan teman rapatnya sejurus tamat program realiti, Talk To My Manager.
“Selepas pertandingan itu, alhamdulillah rezeki semakin banyak. Sudah tentu saya teruja kerana ini adalah lagu Raya pertama kami semua, lepas itu dapat pula bergandingan dengan sahabat baik saya, Ammar dan Auddra,” katanya lagi.
Sementara itu, Ammar Haikal yang juga anak kepada penyanyi Ameng Spring menyifatkan lagu tersebut sebagai langkah permulaan dalam karier nyanyiannya.
Dia turut menyifatkan peluang bekerjasama dalam projek ini sebagai pengalaman baharu yang mengujakan.
“Saya teruja kerana ini karya pertama saya sebagai seorang penyanyi, lagu Raya dengan Trio Mut dan diterbitkan oleh Jaja Ishak. Ia membuatkan saya lebih teruja,” katanya.
Namun begitu, Ammar mendedahkan proses rakaman muzik video tersebut bukan tanpa cabaran. Selain perlu menari, mereka juga harus mencari keserasian dari segi vokal memandangkan setiap seorang memiliki tona suara berbeza.
“Cabaran untuk menari dalam muzik video ini adalah salah satunya. Selain itu, cabaran untuk mengharmonikan lagu ini kerana suara kami bertiga mempunyai tone berbeza, tiga-tiga tak boleh harmoni sangat. Untuk lagu ini, kami belajar untuk harmoni,” katanya.
Dalam pada itu, Hadie turut mengakui projek berkumpulan berkenaan mengajar mereka erti kesabaran dalam memahami karakter masing-masing sepanjang bekerjasama.
“Kami juga harus belajar sabar kerana projek ini melibatkan ramai orang. Semua ada karakter berbeza. Saya ada perangai tersendiri, begitu juga Auddra dan Ammar. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing,” katanya lagi.
Mereka ditemui di set penggambaran muzik video lagu berkenaan di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.
Dentam Dentum Raya dijangka menemui peminat pada penghujung Februari depan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.