
Dalam suasana penuh syahdu dan keberanian, pelakon serta usahawan, Nur Nilam Ortiz berangkat ke Tanah Suci hari ini untuk menunaikan umrah meskipun masih dalam tempoh berpantang.
Langkah besar ini menjadi cerminan keteguhan hatinya sebagai ibu dan isteri, dan lebih mendalam lagi sebagai seorang insan yang ingin mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta pada saat paling peribadi dalam hidupnya.
Isteri kepada pelakon Azlan Komeng itu mengakui pemergiannya ke Mekah adalah satu undangan berharga yang tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata, satu hadiah tidak ternilai yang tiba tepat ketika jiwanya memerlukan ruang, kelegaan dan ketenangan.
“Ada orang yang banyak duit sekalipun belum mampu untuk ke Tanah Suci. Belum dipanggil. Belum diseru.
“Tetapi apabila saya dijemput pada waktu saya masih berpantang, saya anggap ini peluang terbaik untuk saya ‘berbicara’ dengan Allah tentang semua yang membelenggu hati saya selama ini,”
ujar Nilam.Pada awalnya, Nilam berhajat untuk menetap lebih lama di Tanah Suci. Namun, tanggungjawab sebagai ibu kepada KJ, yang baru pulih daripada jangkitan kuman dalam darah serta komitmennya terhadap pengurusan Nilam Empire membuatkan dia memilih tempoh perjalanan yang lebih singkat.
“Ikutkan hati, saya mahu berada sebulan di sana. Tapi suami tidak membenarkan, lebih-lebih lagi kerana KJ masih dalam pemantauan.
“Dua minggu yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk bermuhasabah, mencari ketenangan, dan memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan saya sebelum dan selepas ini,” kongsinya lagi
Bagi Nilam, perjalanan umrah kali ini bukan sekadar ibadah, tetapi ia adalah proses pencarian makna, kejujuran hati dan ketundukan seorang hamba yang ingin mencari jawapan di hadapan Kaabah.
“Saya ingin beribadat sepenuhnya tanpa memikirkan hal dunia. Di depan Kaabah nanti, saya mohon agar segala yang terjadi dan yang bakal berlaku, Allah tunjukkan kebenaran.”
Sejak melahirkan KJ, Nilam mengakui dirinya semakin banyak bermuhasabah.
Dia belajar berdamai dengan diri sendiri, melihat kekurangan dengan keinsafan, serta menerima setiap dugaan hidup dengan hati yang lebih tenang dan terbuka.
“Saya yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya hanya mahukan kebenaran dan kemudahan dalam setiap langkah selepas ini.
“Saya pergi kerana saya ingin bertemu Pencipta saya. Biar Dia yang menyelesaikan segalanya,” katanya lagi.
Pemergian Nilam Ortiz ke Tanah Suci dalam keadaan berpantang menjadi simbol ketabahan, kekuatan dan cinta seorang ibu yang tidak pernah putus asa mencari petunjuk serta ketenangan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
@puan_nilamortiz Perjalanan umrah kali ni… datang dari hati yang penat dengan banyak benda kebelakangan ni. Fitnah, tekanan, tanggungjawab, dan macam-macam benda yang perlu dipikul… sampai satu tahap, kita rasa perlukan masa untuk berhenti sekejap dan duduk dengan Tuhan. Datang dengan niat nak tenangkan hati, nak cari jawapan, nak cari kebenaran, dan nak faham balik apa sebenarnya Allah cuba tunjukkan melalui semua yang berlaku. Kadang bila terlalu banyak suara luar, kita kena pilih untuk dengar satu suara saja — suara Tuhan. Terima kasih yang sangat besar kepada suami sebab izinkan pergi dan sanggup uruskan anak serta semua urusan sementara ketiadaan ni. Bukan senang nak ambil alih semua, dan pengorbanan macam ni memang sangat dihargai. Dan pada semua yang baca, mohon sangat… doakan perjalanan pergi balik dipermudahkan. Doakan dapat umrah yang mabrur, doakan setiap langkah dilindungi, setiap doa diterima, dan semoga balik nanti dengan hati yang lebih kuat, lebih jelas, dan lebih dekat dengan Allah. Terima kasih pada semua yang mendoakan. Moga Allah balas dengan kebaikan berlipat kali ganda.#DariKasihSeorangIbu #NilamEmpire #nilamempireminyaksuriminyaksarafminyakanggununtukcantik #IlmuHerbaNilam #foundernilamempire @AzlanKomeng ♬ original sound – puan nilam ortiz