Berita

“Ini Kerana, Walaupun Hati Pernah Terguris, Keinginan Mencapai Redha Allah SWT Lebih Utama,” – Fazura Berlapang Dada Maafkan Lan Pet Pet

Share

Pelakon dan usahawan, Nur Fazura menerima dengan hati yang terbuka permohonan maaf daripada anggota Senario, Lan Pet Pet selepas pelawak tersebut didakwa mengeluarkan gurauan melampau menerusi satu sesi siaran langsung di media sosial, baru-baru ini.

Menurut Fazura, dia memuji usaha Lan yang segera memohon maaf dan menyedari tentang kesilapannya itu.

“Susulan permohonan maaf secara terbuka oleh saudara Lan, saya memilih untuk segera memaafkan seperti mana segera pula saudara Lan memohon maaf atas kekhilafan anda,” tulisnya.

Kenyataan tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di aplikasi Threads pada Ahad.

Katanya lagi, meskipun gurauan tersebut membuatkan hatinya agak tersinggung, namun, dia memilih untuk tidak lagi memanjangkan isu berkenaan.

“Walaupun Hati Pernah Terguris, Reda Allah Lebih Utama”

Malah, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut berharap agar insiden seperti ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak pada masa akan datang.

“Ini kerana, walaupun hati pernah terguris, keinginan mencapai redha Allah SWT adalah lebih utama.

“Semoga pula kejadian ini menjadi pengajaran dan juga teladan buat kita bersama. Mudah-mudahan,” kongsinya lagi.

Sebelum ini, usikan Lan berkaitan perkahwinan dengan Fazura disifatkan peminat sebagai tidak bersesuaian.

Tindakan itu turut diselar segelintir netizen kerana dianggap kurang sensitif, tidak menghormati serta menjatuhkan maruah wanita, khususnya Fazura yang kini bergelar ibu tunggal.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Nur Fazura

Published by
Aizam Manaf