
Impian penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi untuk membuat persembahan di tengah-tengah bandar Bukit Bintang akhirnya tercapai.
Menurutnya, sesi tersebut bukan sahaja menjadi ruang untuk mendekatkan diri dengan peminat, malah berfungsi sebagai usaha membantu pemuzik jalanan menambah pendapatan.
“Ini adalah impian saya. Saya tahu target market saya. Pada saya, busking ini adalah hiburan rakyat.
“Semua orang boleh datang dan menyaksikan persembahan saya secara percuma. Lagipun, saya memang berniat untuk membantu para buskers di Malaysia ini terutamanya di Bukit Bintang yang sangat aktif,” katanya.
Haiza menegaskan, sokongan penonton yang hadir sangat memberangsangkan, sekali gus memberi semangat kepadanya untuk meneruskan siri jelajah.
“Bila kita buat persembahan di sini, ramai yang akan berikan sokongan. Sedikit sebanyak dapat menambahkan pendapatan mereka.
“Jadi, saya tak mahu program ini berakhir di sini sahaja. Kita akan adakan jelejah yang seterusnya.
“Selepas ini, saya akan ke Kajang pula untuk membuat persembahan bersama buskers di sana,” jelasnya ketika ditemui selepas acara 3 Dekad Dag Dig Dug Haiza Busking di Bukit Bintang.
Dalam pada itu, Haiza tetap memastikan acara berjalan dengan teratur.
“Energi penonton juga lebih dasyat daripada saya. Ingatkan mereka perlukan tempoh bertenang selepas satu persembahan tapi mereka tetap nak teruskan juga.
“Sebabkan semangat yang mereka bagi, kita jadi tak penat,” katanya lagi yang teruja apabila lagu popularnya Dag Dig Dug diberi nafas baharu menerusi versi Dag Dig Dug 3.0.
Ia dirakamkan sempena ulang tahun ke-30 kerjayanya.
“Tujuan utama kita adakan persembahan buskers ini adalah untuk mempromosikan lagu Dag Dig Dug 3.0. Saya rakamkan semula sempena ulang tahun ke-30 saya di industri ini.
“Tak sangka juga ada peminat dari Indonesia yang tahu lagu saya ini,” katanya sambil berkongsi pengalamannya merakamkan lagu berkenaan di Bandung, Indonesia bagi mendapatkan sentuhan dangdut yang lebih segar.
“Pada tahun 1995, lagu ini dirakam dengan konsep ‘program’. Senang kata, ini lagu daripada ‘mesin’. Kini, peredaran muzik dangdut sudah banyak berubah.
“Jika dengar lagu asal, itu suara saya yang lama. Pendengar selalu tertanya-tanya. Ini lagu tahun bila? Saya rakam semula di Indonesia kerana saya nak dapatkan sentuhan dan susunan muzik baharu.
“Bukan nak kata Malaysia tidak bagus cuma saya mahukan udara baharu,” jelasnya.
Dag Dig Dug 3.0 telah dilancarkan sejak Jun lalu dan kini boleh didengari di seluruh platform penstriman digital.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini