
Selepas melalui tempoh menyepi daripada arus perdana industri muzik, penyanyi T-REX kembali dengan single terbaharu berjudul Memori Hari Raya, sebuah karya istimewa yang dilancarkan sempena Aidilfitri tahun ini.
Memori Hari Raya merupakan lagu Raya pertama T-REX selepas kemunculan semulanya dalam industri muzik.
Pelancaran ini sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni bintang otai ini.
Menurut T-REX, pemilihan lagu bertemakan Hari Raya sebagai single comeback bukanlah satu kebetulan.
“Raya adalah tentang pulang. Dan bagi saya, ini juga tentang ‘pulang’ kepada muzik dan diri sendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, lagu ini turut mengangkat tema kepulangan ke kampung halaman, nilai kekeluargaan serta kenangan indah Aidilfitri yang menyentuh hati.
Dengan sentuhan emosi yang lebih matang serta elemen moden, Memori Hari Raya diharap mampu menjadi lagu yang dekat di hati para pendengar muzik tanah air.
Sementara itu, video muzik rasmi lagu ini turut menampilkan suasana kampung yang meriah, interaksi kekeluargaan serta elemen komuniti yang menggambarkan semangat sebenar Aidilfitri iaitu kebersamaan dan kesyukuran.
Single ini diterbitkan oleh Melissa Ng di bawah naungan Dark Circle Entertainment, dengan susunan muzik oleh Melissa Ng dan Yon Iskandar.
Lagu tersebut kini sidah boleh ditonton dan distrim di YouTube, Spotify dan Apple Music.
T-REX turut merakamkan penghargaan khusus kepada penerbitnya, Melissa Ng, yang memainkan peranan penting dalam membawa beliau kembali ke layar dan pentas muzik.
“Saya sangat berterima kasih kepada Melissa Ng kerana mempercayai dan membawa saya kembali ke hadapan industri.
“Ini bukan sekadar satu projek, tetapi permulaan kepada lebih banyak kerjasama menarik yang akan datang,” katanya.
Menerusi Memori Hari Raya, T-REX juga berharap agar kemunculan semula ini akan membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya, di samping terus meraih sokongan daripada peminat lama dan baharu.
T-REX ialah penyanyi berasal dari Sarawak yang dikenali sebagai bekas vokalis kumpulan Kamikaze.
Berbekalkan pengalaman luas dalam industri muzik, beliau telah membina reputasi sebagai artis yang memiliki vokal berkarakter serta persembahan yang penuh tenaga.
Selepas pembubaran Kamikaze, T-REX meneruskan perjalanan seninya dan diberi kepercayaan untuk mengadakan persembahan di Genting Highlands selama 13 tahun.
Tempoh tersebut bukan sahaja memperkukuh kredibilitinya, malah mematangkan lagi beliau sebagai seorang penghibur pentas yang berpengalaman.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.