Berita

“Ini Bukan Bisnes Keluarga…,” – Awie Bertegas Tak Kan Bawa Merrah Di Pentas Wings, Enggan Buka Ruang Orang Mengata

Share

Selepas tular video yang memaparkan mereka menyanyi bersama, penyanyi Datuk Awie menegaskan dia tidak akan membawa anaknya, Putera Ahmad Merrah, untuk berduet di pentas Wings melainkan anaknya itu hanya bertindak sebagai penyanyi latar.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, dia percaya Merrah mampu mencari peluangnya sendiri.

Malah, Awie turut menyifatkan Wings sebagai sebuah band profesional dan bukannya bisnes keluarga.

“Lebih baik dia cari peluang sendiri dan balajar dahulu. Jika dia dapat peluang-peluang nyanyian, itu adalah rezeki dia. Pergilah ke mana pun.

“Untuk saya ketengahkan dia di atas pentas Wings, itu tidak akan berlaku. Kecuali dia duduk di belakang sebagai penyanyi latar.

“Jika saya bawa dia menyanyi bersama di atas pentas, nanti orang kata ini urusan dan bisnes keluarga pula. Wings bukan bisnes keluarga,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Di Penjara Janji itu berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Orang Kita, baru-baru ini.

Tak Mahu Anak Jadi Bahan Mengata

Dalam masa sama, Awie memaklumkan dia tidak mahu penglibatan anaknya itu membuka ruang untuk menjadi bahan perbualan dan kecaman orang ramai.

“Saya tak nak orang guna peluang itu sebagai bahan untuk mengumpat dan mengeji. Saya percaya dengan rezeki masing-masing. Dia tahu cari rezeki dia dan saya pasti akan bantu segala permasalahan dia.

“Biarlah saya cari rezeki saya dengan jalan saya sendiri. Saya tak nak hal ini diperkatakan. Ketika ini, setitik masalah akan jadi sebelanga.

“Orang akan saling menghentam. Kini merupakan zaman orang maki orang lain secara percuma. Berani pun setakat di balik telefon sahaja. Kalau secara berdepan mereka tidak berani,” kongsinya lagi.

Sejak kebelakangan ini, nama Merrah semakin mendapat perhatian netizen selepas tular beberapa video nyanyiannya di media sosial. Malah, ramai yang memuji vokalnya dan berharap dapat melihat gandingan anak-beranak itu di pentas-pentas besar.

Perlahankan Lakonan Demi Wings

Dalam perkembangan lain, Awie memaklumkan dirinya kini terpaksa memperlahankan kerjaya lakonan bagi memberikan sepenuh komitmen bersama Wings.

“Ketika ini, saya memang memperlahankan kerja-kerja lakonan kecuali ia melibatkan produksi saya sendiri. Barulah saya akan pertimbangkan. Malah, ada beberapa tawaran filem yang saya terpaksa tolak.

“Buat masa ini, saya tiada kemampuan untuk meninggalkan studio. Bila kita habiskan waktu di set, bukan kondisi badan sahaja berubah, kekuatan suara saya juga akan jatuh menjunam.

“Bila saya balik ke studio dan nak pulihkan semula suara, boleh pengsan dibuatnya. Ia akan mengambil masa yang lama dan siksa. Kalau boleh, saya tidak mahu tinggalkan latihan nyanyian.

“Bila di dalam fasa konsert boleh cari makan, biarlah saya fokus nyanyian. Berilah peluang kepada orang lain.

“Saya rindu dengan kerjaya lakonan. Malah, saya rindu arwah Mamat Khalid. Bila areah sudah tiada, saya seperti hilang semangat,” katanya.

Konsert Orang Kita dijadualkan berlangsung di Zepp KL, Kuala Lumpur pada 30 Januari ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf