
Penyanyi Ina Naim menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan Astro kepada anaknya, Ehmad Hadie, untuk menyertai program realiti baharu, Talk To My Manager.
Menurut Ina, ini merupakan detik terbaik untuk Hadie memulakan perjalanan sebagai penyanyi muda.
“Pertama sekali, saya rasa sangat bersyukur kerana pihak Astro memberikan peluang ini kepada anak kami. Hadie hanya anak biasa sahaja.
“Mungkin yang menggerakkan hati mereka untuk memilih Hadie adalah Allah SWT. Saya anggap peluang ini sebagai sesuatu yang baik buat Hadie.
“Lagipun Hadie merupakan pelajar ‘home schooling’ sepenuh masa. Jadi, saya mahu memberikannya pendedahan tentang dunia luar di program ini,” katanya kepada MH.
Ina berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Talk To My Manager yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ina turut berkongsi, arwah suaminya, penyanyi Allahyarham Suhaimi Saad, pernah menerima tawaran serupa daripada pihak Astro, namun terpaksa menolaknya kerana beberapa kekangan.
“Saya mahu Hadie mengambil semangat arwah bapanya. Sebelum ini, arwah Suhaimi pernah menerima tawaran seperti ini daripada pihak Astro.
“Namun, disebabkan masalah kesihatan dan kami tinggal jauh, arwah terpaksa tolak. Kini, Allah datangkan anak pula untuk meneruskan harapan itu. Jadi, kita terima peluang itu.
“Mungkin bila menyanyi di pentas ini nanti, Hadi akan ingat ayahnya juga pernah terima peluang seperti ini. Jadi, saya minta dia buat yang terbaik,” ujarnya.
Mengikut jejak langkah arwah bapanya, Hadie mengakui sudah mula menyanyi sejak usia lima tahun dan telah merakamkan album bersama arwah Suhaimi.
“Saya mula menyanyi sejak umur lima tahun. Arwah ayah memang selalu bawa saya pergi ke jemputan persembahan. Dari situ, saya dapat melihat sedikit sebanyak cara ayah saya menyanyi.
“Saya juga selalu menyanyikan lagu arwah ayah. Jadi, arwah nampak saya ada bakat dalam dunia nyanyian. Ayah juga pernah buatkan album untuk saya.
“Kini, saya hanya mahu harumkan nama ibu dan ayah dan meneruskan perjuangan beliau,” katanya.
Dalam masa sama, Ina turut menyatakan kesediaannya untuk berdepan dengan cabaran dan kecaman apabila program tersebut mula bersiaran kelak.
“Itulah hikmah yang kami terima sepanjang mengadakan sesi siaran langsung di Tik Tok. Segala kecaman dan hinaan, kami sudah boleh hadap. Itu yang Allah bagi sejak mula lagi.
“Mungkin apa yang akan berlaku di tv nanti, biasa sahaja buat kami. Insha-Allah segalanya boleh dikawal berbanding dengan komen-komen di media sosial. Kami tetap kena kental,” akhirinya.
Selain Hadie, Talk To My Manager turut menampilkan anak-anak selebriti lain seperti Thalita (Shuib), Auddra (Sharifah Shahirah), Ammar (Ameng), Marsya (Liza Hanim), Amad (Siti Saerah), Athalia (Sharifah Zarina) dan Ara Aziz (Aziz M. Osman).
Dalam format program ini, ibu atau bapa masing-masing akan bertindak sebagai pengurus kepada anak-anak mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
Talk To My Manager akan dihoskan oleh pengacara tersohor Datuk Aznil Hj. Nawawi, manakala Datuk AC Mizal dan Che Puan Sarimah Ibrahim pula menggalas peranan sebagai juri tetap.
Program ini akan mula bersiaran pada setiap Ahad, bermula 24 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria, dan turut boleh distrim melalui Astro Go serta sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini