Categories: Berita Hiburan

Impiana: Karma Membalas, Dendam Tak Lepas! Gandingan Berbisa Juliana Evans & Tiz Zaqyah

Share

Slot drama tempatan di Astro Home of Drama kini kembali! ‘Impiana: Karma’ hadir dengan naskhah yang sarat persahabatan, dendam, obsesi kecantikan dan permainan emosi yang buat anda tak senang duduk!

‘Impiana: Karma’ mengangkat kisah sisi gelap sekumpulan pelajar wanita yang dikenali sebagai The Wannababes, yang kembali bertemu selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing.

Tanpa mereka sedari, perbuatan kejam dari masa lalu seakan kembali menghantui selepas pertemuan semula tercetus.

Pertemuan itu bukan sekadar ‘reunion’ rakan lama, malah mempertemukan mereka secara tidak sengaja dengan Mimi Monira, lakonan Ezzanie Jasny, yang pernah menjadi mangsa buli mereka pada zaman persekolahan.

Kejutan turut tercetus apabila Mimi kini tampil cantik, anggun dan jauh berbeza daripada penampilan ketika zaman sekolah.

Pada sesi tersebut, Mimi turut memperkenalkan syarikat misteri IMPIANA Sdn. Bhd., yang dikatakan mampu menunaikan apa sahaja impian dalam tempoh tiga bulan.

Namun, ada harga yang perlu dibayar jika impian itu ingin direalisasikan.

Juliana & Tiz Bergabung, Meletup!

Antara daya tarikan utama drama ini adalah kemunculan dua pelakon berbakat besar, Tiz Zaqyah dan Che Puan Juliana Evans, yang berjaya menghidupkan naskhah ini dengan penuh intensiti, emosi dan konflik.

Dengan pengalaman luas dalam dunia lakonan, kedua-duanya berjaya menjadikan cerita lebih tajam, realistik dan dekat di hati penonton, memang ‘menyala’!

Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi ruang, tetapi membawa kekuatan dramatik menerusi naskhah 22 episod ini.

Che Puan Juliana Evans turut berkongsi proses persediaannya demi menjayakan watak Fasha.

“Saya ambil rujukan daripada drama-drama luar kegemaran saya seperti Gossip Girl dan Mean Girls dan belajar bagaimana cara mereka membuli rakan lain.

“Ia tidak kelihatan seperti berlakunya situasi buli itu secara terang-terangan tetapi lebih kepada tekanan terhadap mental,” katanya.

Dalam masa sama, Juliana meluahkan keterujaan membawakan watak pelajar sekolah dan bergandingan dengan pelakon generasi baharu.

“Memang agak luar biasa juga bila kembali dapat membawakan watak pelajar sekolah dan ya, saya suka bawa watak sedemikian.

“Lebih menarik, dapat bekerjasama dan berkongsi ilmu dengan pendatang baharu yang meningkat naik seperti Ezzanie Jasni, Yuna Rahim dan Adriana Adnan,” kongsinya lagi.

Sementara itu, Tiz Zaqyah yang membawakan watak Linda pula mendedahkan, cabaran melakonkan karakter pelajar bermasalah dalam naskhah adaptasi novel popular karya Ain Maisarah bukanlah sesuatu yang mudah.

“Bawa watak sabagai pelajar bermasalah ini bagi saya memang sangat mencabar, sebab ia bertentangan dengan sikap saya. Rasa macam jahat betul bila bawa watak ini.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan perlakuan buli ini mampu berikan impak yang teruk kepada mangsa dan pelaku. Ia kekal dalam ingatan untuk selama-lamanya.

“Jadi dari situ, saya dapat rasakan yang tindakan membuli orang memang tidak best walaupun hanya dalam lakonan.

“Saya sendiri tak boleh bayangkan macam mana orang di luar sana terutamanya kanak-kanak boleh membuli tanpa ada rasa belas kasihan dan macam tiada perasaan,” kongsinya.

Drama Adaptasi Yang Dinantikan

Impiana: Karma bukan sekadar drama, ia adalah adaptasi yang mencuri perhatian, dinanti oleh penggemar naskhah tempatan yang dahagakan suspens dan ketegangan. Dengan promosi yang padat dan buzz di media sosial, karya ini menjanjikan kepuasan maksimum, diperkukuh oleh lakonan mantap barisan pelakon hebatnya.

Sebagai Home of Drama, Astro terus mendominasi dengan kandungan premium yang bukan sahaja menghibur, tetapi memberi impak dan inspirasi kepada penonton seluruh negara. Ini bukan sekadar drama ini adalah pengalaman.

Impiana: Karma bersiaran bermula 19 November lalu, setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di saluran Astro Ria. Drama ini turut boleh ditonton di platform Astro One dan sooka.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf