Hiburan

Ikon Gusti Profesional, Hulk Hogan Meninggal Dunia Pada Usia 71 tahun

Share

Ikon gusti profesional dan ikon budaya pop dunia, Hulk Hogan, disahkan meninggal dunia pada usia 71 tahun selepas mengalami serangan jantung di kediamannya di Clearwater, Florida, pada 24 Julai 2025.

Menurut laporan rasmi pihak berkuasa, pasukan kecemasan menerima panggilan pada jam 9.51 pagi sebelum bergegas ke lokasi. Usaha menyelamat dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan selama hampir 30 minit sebelum Hogan dikejarkan ke hospital. Beliau disahkan meninggal dunia sekitar jam 11.17 pagi.

Pihak polis dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa tiada unsur jenayah ditemui dan kematian tersebut diklasifikasikan sebagai kematian semula jadi, meskipun siasatan tetap dijalankan mengikut prosedur standard.

Hogan, atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea, merupakan antara figura paling berpengaruh dalam dunia gusti sejak era 1980-an menerusi persona “Hulkamania” yang melonjakkan populariti World Wrestling Federation (kini WWE) ke tahap global.

BACA JUGA: Hulk Hogan Berkahwin Lagi Pada Usia 70 Tahun, Pilih Wanita 25 Tahun Lebih Muda

Sepanjang kerjayanya, beliau memenangi pelbagai kejuaraan termasuk enam gelaran WWF/WWE dan juga dikenang sebagai ahli WWE Hall of Fame.

Mendiang turut terkenal di luar gelanggang menerusi penampilan dalam filem seperti Suburban Commando dan rancangan realiti, Hogan Knows Best. Malah, beliau juga sempat menceburi bidang perniagaan serta muzik.

Difahamkan, Hogan baru sahaja menjalani pembedahan leher pada Mei lalu dan dilaporkan sebelum ini berada dalam fasa pemulihan. Pemergian beliau nyata mengejutkan dunia hiburan dan sukan tempur antarabangsa.

Pelbagai tokoh ternama termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta rakan seperjuangan seperti Ric Flair dan The Undertaker tampil memberikan penghormatan terakhir kepada figura yang dianggap sebagai bintang gusti paling terkenal sepanjang zaman.

WWE dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan Hogan sebagai simbol era emas gusti yang telah membentuk asas kejayaan syarikat itu sehingga ke hari ini. Upacara penghormatan dan perincian majlis pengebumian dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh keluarga mendiang.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA