
Pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah tidak tersinggung apabila isu mengenai status pekerjaan suaminya yang juga pelakon, Ijoy Azhari, tular selepas dia menghadiri sebuah program audio siar, baru-baru ini.
Menurut Shahirah atau lebih mesra disapa Sheira, Ijoy itu memainkan peranan besar dalam hidupnya dan dia tidak merasakan keperluan untuk menjelaskan perkara tersebut kepada orang lain.
“Hos podcast akan suka tanya soalan yang bermain di fikiran netizen dan mencurigakan. Bila hos tanya, saya jawab sahaja. Nak jawab apa lagi? Dia memang menyenangkan hati saya. Sama sahaja seperti manusia lain.
“Dia suami yang sentiasa ada di sisi saya dan dia belum pernah menyakitkan hati sangat. Dia ada menjalankan perniagaan kedai kopi tapi tidaklah terlalu gah.
“Kami sama-sama sibuk menguruskan anak-anak. Ijoy ada peranannya dalam hidup saya. Biarlah malaikat Raqib dan Atid yang mencatit. Saya tiada masa nak buat penjelasan.
“Setiap orang ada baik dan buruknya. Begitu juga saya. Takkan saya cerita yang buruk juga,” katanya kepada MH.
Penyampai radio Sinar itu berkata sedemikian ketika ditemui di kempen Ramadan Astro, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Sheira memaklumkan dirinya tidak berasa terjerat dengan pertanyaan yang diajukan oleh hos podcast berkenaan.
“Saya tak rasa terjerat pun. Lagipun, saya sudah lama berkahwin dengan Ijoy. Kalau orang tanya, baru saya jawab. Baru inilah ada orang nak tanya. Itu pun sebab adanya podcast.
“Tiada siapa yang berani cakap ‘laki kau tak kerja’ secara depan-depan. Tahun 2026 ini, apa lagi kerja orang Malaysia, cakap fasal orang sahajalah.
“Tahun 2026 ini, kita memang kena hadap sahaja apa yang terjadi. Ketika ini, segelintir orang hidup sebab fikir dan bercakap tentang orang lain. Bukan kerana Allah SWT lagi,” kongsinya lagi.
Ditanya sama ada isu tersebut mengganggu keharmonian rumah tangganya, Sheira memaklumkan dia dan suami kini lebih memberikan tumpuan terhadap anak-anak.
“Kami tak bergaduh pun. Kami lagi sibuk nak menguruskan Auddra. Perkara ini sangat remeh. Kami sudah lama hidup bersama. Kami kini sedang merangka perancangan buat anak-anak.
“Kami pun sudah tidak lama lagi di atas dunia ini. Waktu saya pun tidak lama lagi,” akhirinya.
Untuk rekod, Sheira mendirikan rumah tangga bersama Ijoy pada tahun 2003 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu AirelAirra, Audra dan Adeena.
Sebelum itu, Sheira pernah berkahwin dengan penyanyi Jatt Ali dan memiliki seorang anak perempuan, Tallisya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini