Categories: Hiburan

“Ibu & Bapa Takkan Pernah ‘Unfollow’ Anak Mereka,” – Cruz Dedah Brooklyn Beckham Terlebih Dahulu Sekat Akaun Instagram Keluarga

Share

Hubungan antara Brooklyn Beckham dengan keluarganya dilaporkan kembali tegang apabila anak sulung pasangan selebriti terkenal, David Beckham dan Victoria Beckham, itu didakwa telah menyekat akaun Instagram ahli keluarganya sendiri, sekali gus mencetuskan spekulasi baharu mengenai keretakan hubungan mereka.

Perkara itu terbongkar selepas adiknya, Cruz Beckham, mendedahkan dalam satu muat naik di Instagram Story bahawa dakwaan kononnya ibu bapa mereka ‘unfollow’ Brooklyn di Instagram adalah tidak benar.

Menurut Cruz, ” Tidak benar. Ibu dan bapa tidak akan unfollow anak mereka. Mari betulkan fakta, bangun-bangun sahaja mereka dapat tahu mereka sudah disekat sama seperti saya.”

Tindakan tersebut dianggap luar biasa memandangkan keluarga Beckham sering dikenali sebagai sebuah keluarga yang rapat dan sering berkongsi momen kebersamaan di media sosial. Langkah menyekat akaun keluarga sendiri dilihat sebagai satu isyarat jelas wujudnya konflik yang lebih mendalam, bukan sekadar salah faham kecil.

BACA JUGA: David Beckham Terima Gelaran Knighthood Daripada Raja Charles III

Sumber terdekat keluarga itu dipetik media antarabangsa sebagai berkata David dan Victoria berasa amat sedih dan keliru dengan tindakan Brooklyn, khususnya apabila hubungan kekeluargaan menjadi semakin dingin menjelang musim perayaan hujung tahun.

Ketegangan tersebut turut dikaitkan dengan hubungan Brooklyn bersama isterinya, Nicola Peltz, yang sejak beberapa tahun lalu sering menjadi bahan spekulasi media berhubung hubungannya dengan keluarga Beckham.

Isu-isu lama termasuk perbezaan pandangan serta jarak fizikal antara Brooklyn dan keluarganya di United Kingdom dipercayai menyumbang kepada kerenggangan itu, namun ia tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak.

Difahamkan, Brooklyn  memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga isterinya, Nicola di Amerika Syarikat, sekali gus menguatkan tanggapan bahawa hubungan Brooklyn dengan keluarganya kini berada pada tahap paling dingin setakat ini.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Brooklyn setakat ini, tindakan menyekat akaun Instagram keluarga sendiri dianggap sebagai satu mesej yang cukup jelas.

Perkembangan itu sekali gus mengundang perhatian ramai, memandangkan keluarga Beckham sebelum ini sering mendapat perhatian ramai dijadikan contoh keluarga selebriti yang utuh dan bersatu dalam membesarkan anak-anak.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA