Categories: Hiburan

Hukuman Penjara Nikita Mirzani Dipanjangkan Kepada Enam Tahun

Share

Selebriti kontroversi Indonesia, Nikita Mirzani, berdepan tempoh pemenjaraan lebih lama selepas Mahkamah Tinggi DKI Jakarta pada Isnin memutuskan untuk memanjangkan hukuman penjaranya daripada empat tahun kepada enam tahun.

Menurut laporan CNN Indonesia, keputusan itu diumumkan selepas mahkamah menilai semula rayuan yang difailkan berhubung kes pemerasan, pengancaman melalui elektronik dan tuduhan pencucian wang yang membabitkan dirinya.

Dalam penghakiman itu, panel hakim menyatakan bahawa Nikita didapati bersalah secara sah dan meyakinkan atas dua pertuduhan utama iaitu melanggar Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE)  serta terlibat dalam pergerakan dana yang disifatkan sebagai aktiviti pencucian wang.

Penemuan baharu di peringkat rayuan itu menjadi asas utama mahkamah memutuskan tempoh hukuman yang lebih panjang.

BACA JUGA: Nikita Mirzani Mengamuk Dalam Mahkamah, Enggan Pulang Ke Tahanan

Sebelum ini, Mahkamah Negeri hanya mensabitkan Nikita atas kesalahan ITE dan menolak dakwaan pencucian wang, namun Mahkamah Tinggi berpandangan bahawa bukti menunjukkan wujudnya peranan aktif beliau dalam transaksi mencurigakan tersebut.

Selain pemenjaraan enam tahun, Nikita turut diperintahkan membayar denda Rp1 bilion, dengan hukuman tambahan tiga bulan penjara sekiranya denda itu tidak dijelaskan.

Pihak pembelaan dijangka mempertimbangkan langkah membawa kes berkenaan ke peringkat lebih tinggi, namun belum ada kenyataan rasmi dibuat setakat ini.

Kes berprofil tinggi itu terus menjadi perhatian masyarakat Indonesia memandangkan Nikita sering menjadi tumpuan umum dan media akibat pelbagai kontroversi. Keputusan terbaharu ini sekali gus menjadikan tempoh penahanannya bertambah panjang sekiranya tiada perubahan pada peringkat selanjutnya.

Imbas kembali, ibu kepada tiga cahaya mata ini ditahan polis pada 4 Mac 2025. Sebelum ini beliau aktif sebagai seorang pencipta kandungan di media sosial, usahawan dan pelakon.

Antara lakonannya yang terakhir sebelum ditahan adalah menerusi filem Tuhan, Izinkan Aku Berdosa yang kini boleh ditonton di Netflix.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA