
Didakwa wujud pihak yang cuba melaga-lagakan dirinya bersama Nur Fazura, pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad menegaskan bahawa hubungannya bersama aktres berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik tanpa sebarang perselisihan faham.
Menurut Nabil, hubungan akrab tersebut bukanlah sesuatu yang baharu terjalin.
Sebaliknya, mereka sudah lama bekerjasama termasuk ketika membintangi filem Bujang Terlajak yang diterbitkan pada tahun 2012.
“Hubungan saya dengan Fazura memang sangat baik. Ketika ini, kami sering bekerjasama. Malah, saya hampir terlupa yang satu ketika dahulu, kami pernah bekerjasama dalam sebuah filem.
“Saiful Apek juga terlibat. Bila netizen memainkan semula video-video lama kami, baru saya sedar yang kami sebenarnya memang rapat sejak dahulu lagi.
“Alhamdulillah, apa yang dirancangkan menjadi perhatian dan diperkatakan. Saya seronok bila kami (duta) semua punyai hubungan yang sangat baik,” katanya kepada MH.
Pengacara program Meletop itu berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya terbaharu Nabila Razali , Tak Sabar Nak Raya di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kuala Lumpur pada Rabu.
Tak Sabar Nak Raya bakal dilancarkan secara rasmi bermula 27 Februari ini dan ia merupakan projek kolaborasi di antara Nabila dan Nabil.
Dalam pada itu, Nabil memaklumkan dia memilih untuk tidak terlalu mengambil tahu mengenai perkara yang diperkatakan di media sosial demi menjaga kesihatan mentalnya.
“Saya baru tahu hal ini. Saya memang tak baca sangat komen-komen di media sosial. Akaun Threads pun saya tiada demi menjaga kesihatan mental. Pada saya, setiap orang ada persepsi sendiri.
“Namun, apa yang saya dengar, ada pihak yang dikatakan cuba melaga-lagakan segelintir pihak. Malah, ada juga pihak yang didakwa cuba menghasut untuk tidak suka pada orang lain.
“Pada saya, lebih baik saya tak ambil tahu. Namun, secara realiti dan hakikat, barisan duta seperti saya, Fazura, Que Haidar, Kamal Adli dan lain-lain, bila berjumpa, kami boleh duduk bersama, gelak dan berseronok bila bekerja. Itu sudah cukup baik buat saya,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai hubungan Fazura dan pelakon, Que Haidar yang kini dikatakan semakin akrab, Nabil menjelaskan sebagai rakan industri, dia tumpang gembira melihat kebahagiaan mereka.
“Gelagat mereka memang sangat comel, ’cuteness overload’. Kita memang tahu keadaan mereka. Jadi, bila kita melihat sesuatu yang berbunga-bunga di set kerja, sebagai kawan, kita ikut seronok sekali.
“Namun, sama ada situasi mereka itu dirancang atau sebaliknya, saya tidak tahu. Jika di belakang tabir, lihat Fazura dan Que duduk bersama semasa menunggu persiapan pihak produksi, nampak mereka benar ikhlas,” akhirinya.
Baru-baru ini, nama Nabil menjadi perhatian apabila terdapat pihak yang melabelkannya sebagai ‘lalang’ dan mendakwa dia hanya berpura-pura menjalinkan hubungan baik bersama Fazura atas tuntutan kerja.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini