
Penyanyi, Irfan Haris meluahkan rasa teruja apabila berpeluang merakamkan single terbaharu berjudul Rasa & Takdir bersama kakaknya yang juga pelakon dan penyanyi, Amira Othman.
Menurut Irfan, peluang ini menjadi momen istimewa dalam perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi kerana dapat berkongsi karya bersama kakak tersayang.
Malah, ketika majlis sidang media Rasa & Takdir, Irfan tidak dapat menahan sebak sewaktu Amira merakamkan ucapan penghargaan buat dirinya dan keluarga.
“Apa-apa sahaja perkara melibatkan keluarga dan kakak, saya akan jadi terlebih sensitif. Seperti yang semua orang tahu, saya sangat rapat dengan kakak.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan kakak yang sangat baik dan sentiasa menyokong. Begitu juga dengan ayah dan ibu saya.
“Bila pertama kali saya dengar lagu ini, saya jadi mudah sedih. Padahal saya ada banyak lagu-lagu sedih dan berkisarkan tentang cinta. Namun, saya tak pernah menangis tapi lagu ini berbeza.
“Kami punyai hubungan rapat yang sangat luar biasa. Ini semua adalah kurniaan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Imperial Lexis Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.
Ditanya adakah dia sebak kerana mengetahui kakaknya itu akhirnya bakal melangkah ke fasa bahagia, Irfan menjelaskan dia sentiasa gembira buat Amira.
“Saya sentiasa gembira buat kakak saya tak kisahlah dalam keadaan apa sekali pun. Saya akan selalu berada di belakang kakak saya.
“Dia bukan sekadar kakak, dia merupakan rujukan saya dalam kehidupan dan industri seni,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Irfan turut menegaskan, hubungannya dengan Amira tidak akan berubah meskipun selepas kakaknya berumah tangga.
“Saya dan kakak sudah pernah bercakap soal ini sejak 10 tahun yang lalu. Andai kata kakak saya kahwin, hubungan akrab kami akan tetap sama dan tidak berubah.
“Siapa sahaja tak sedih andai kata satu hari nanti kakak kita akan bertemu jodoh dan berkahwin. Tadi saya agak emosi kerana kakak banyak bercakap tentang keluarga.
“Rasanya ramai juga yang tak tahu susah payah kami dalam industri ini terutamanya saya. Saya sebak bila kenangkan saat jatuh dan bangun dalam industri ini,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Irfan turut meluahkan rasa syukur kerana Amira dipertemukan dengan bakal suami yang baik seperti Fattah Amin.
“Kalau kakak saya gembira, saya juga akan gembira. Saya akan setiasa berada di belakang dia.
“Apa sahaja yang membahagiakan kakak saya, saya pun akan tumpang gembira. Doakanlah yang baik-baik,” akhirinya.
Semalam, Fattah Amin tampil membuat kejutan apabila muncul di majlis sidang media dan mengumumkan dirinya bakal melangsungkan majlis pernikahan bersama Amira pada 14 September ini.
Perkara itu sekaligus meleraikan teka-teki mengenai hari bahagia pasangan ini dan majlis hari bahagia pasangan itu juga bakal disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Unifi TV 2.0.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini