
Pelakon Amyza Aznan sekali lagi diuji dengan dugaan berat apabila anak keduanya disahkan menghidap kanser tulang, ketika anak sulungnya, Andre Mikhail, masih menjalani rawatan kanser paru-paru.
Perkhabaran menyedihkan itu dikongsikan Amyza menerusi hantaran di Instagram Stories pada petang Khamis.
Menurutnya, ujian ini amat meruntun jiwa kerana ia berlaku dalam bulan kelahiran kedua-dua anaknya.
“Ramadan pertama, di bulan kelahiran anak-anak saya, Andre Mikhail 19 tahun dan Andrian Adam 18 tahun.
“Selepas anak pertama saya yang disahkan kanser paru-paru, hari ini, anak saya yang kedua disahkan kanser tulang,” tulisnya.
Sebelum ini, pelakon drama Andai Tiada Dia itu turut memaklumkan keadaan kesihatan anak sulungnya yang semakin merosot.
Ketumbuhan di dalam paru-paru dilaporkan semakin membesar sehingga menyebabkan bahagian kanan organ tersebut tidak lagi berfungsi.
Saiz sebenar ketumbuhan itu hanya dapat dikenal pasti selepas Andre menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Dalam pada menempuh ujian berganda ini, Amyza tetap menzahirkan harapan agar Ramadan kali ini membawa sinar baharu buat anak-anaknya.
Dia memohon agar malam yang penuh keberkatan menjadi asbab segala doa diangkat dan dimakbulkan Allah SWT.
“Malam ini, malam yang penuh berkah. Semoga semua doa dari kita dimakbulkan oleh Allah SWT.
“Istimewa buat anakku, Andre Mikhail Khairul Izhar, semoga Allah angkat segala penyakit yg memudaratkan dan dipanjangkan usia dan diganti dgn keajaiban kesembuhan dan khabar berita yang menggembirakan, insya-Allah. Amin,” kongsinya.
Terdahulu, Amyza memaklumkan anak sulungnya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga pada pertengahan Februari 2025 selepas doktor mengesan ketumbuhan ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Amyza Aznan