
Penyanyi Hafiz Suip mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah pada 29 Mei lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam.
Menurut Hafiz, 35, keputusan mengenai hak penjagaan anak-anak pula diberikan kepada bekas isteri kerana dia percaya ibu adalah tempat terbaik buat anak-anak.
“Secara rasmi saya sudah bercerai talak satu dengan isteri pada 29 Mei lalu. Anak-anak di bawah jagaan bekas isteri.
“Secara rasionalnya, sudah tentu kalau saya berada dalam situasi ini, saya akan pilih ibu saya.
“Saya rasa ibulah merupakan pilihan tepat untuk mengambil penjagaan anak-anak. Kalau kita nak lawan fasal hak ini sampai bila pun tak habis, katanya.
Hafiz ditemui dalam sebuah sesi ramah mesra bersama media di Bienz KL, Wangsa Maju, malam tadi.
Kini menetap di Kuching, Sarawak, Hafiz tetap mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri demi kelangsungan urusan anak-anak.
Katanya, keutamaan adalah untuk mencari jalan damai tanpa menambahkan tekanan terhadap semua pihak.
“Tipulah kalau kata saya tak ingat anak, setiap hari saya fikirkan anak-anak, nak hubungi mereka tetapi mereka juga perlu bersekolah dan ada jadual sendiri.
“Sekarang saya dan bekas isteri masih dalam proses perbincangan tentang urusan anak-anak. Contohnya macam mana saya nak berjumpa dengan mereka sama ada sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur.
“Saya tak mahu menimbulkan masalah. Cukuplah turun naik mahkamah untuk urusan penceraian. Penat,” jelasnya lagi.
Walaupun berdepan dengan kemelut rumah tangga, penyanyi Awan Nano ini tetap bersikap positif dan redha dengan perjalanan hidupnya.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ini adalah pengajaran dan pengalaman.
“Ia juga satu takdir, kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya. Jangan saling menyalahkan kerana hati kita tidak akan rasa tenang.
“Dalam Islam juga ada mengajar kalau nak rasa tenang kita kena berdamai dengan takdir. Nasihat saya kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersikap matang,” katanya lagi.
Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini