
Penyanyi Hael Husaini mendedahkan rakan artis, Datuk Seri Rossa sendiri memilih lagu raya nyanyiannya bersama Nadeera Zaini iaitu Meriah Lain Macam, untuk dipersembahkan secara duet menerusi Konsert Rossa ‘Here I Am’ di Axiata Arena Sabtu lalu.
Menurut Hael, dia pada mulanya ada mencadangkan beberapa lagu hit miliknya, namun Rossa tetap memilih lagu raya tersebut untuk didendangkan.
“Datuk Seri Rossa telefon saya, request lagu apa yang kami nak nyanyi bersama. Saya pun senaraikan beberapa buah lagu sebab ada Jampi, Hajat dan banyak lagi… tapi yang dia pilih ialah Meriah Lain Macam.
“Tapi sebab hari ni adalah hari dia, kita nyanyi lagu yang dia minta,” kata yang turut menukar lirik lagu raya itu kepada versi berbeza, sesuai dengan acara pada malam berkenaan.
Terdahulu, Hael diundang untuk membuat persembahan bersama Rossa di samping barisan penyanyi lain iaitu Ariel, MK K-Clique, Dipha Barus, Rimar, Jemimah, Syarla, Awdella dan Ernie Zakri.
Sementara itu, persahabatan akrab antara Rossa dan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menjadi momen istimewa dalam konsert tersebut apabila penyanyi Seberang itu menghadiahkan satu segmen tribute khas kepada penghibur tersohor tanah air itu.
Dalam segmen tersebut, Rossa menyanyikan tiga lagu popular milik Siti iaitu Percayalah, Biarlah Rahsia, dan Bukan Cinta Biasa dengan versinya tersendiri.
Malah penonton mulai bersorak dan sama-sama menyanyi apabila Siti yang turut hadir menonton, secara spontan menyambung nyanyian Rossa pada bahagian ‘chorus’ lagu Percayalah.
Sedutan momen itu turut menjadi tular di media sosial apabila rata-ratanya memuji hubungan akrab di antara dua figura terkenal yang sentiasa saling menyokong.
Selain Siti, antara selebriti yang turut hadir menyaksikan konsert sama ialah Melly Goeslaw, Nora Danish, Dayang Nurfaizah, dan Amira Othman.
Tampak selesa membuat persembahan, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, turut menghiburkan peminat dengan celotehnya, termasuk ketika segmen bersama rakan artis Indonesia, Ariel Noah.
Konsert ‘Rossa… Here I Am’ dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production yang turut mendapat sokongan promosi daripada Sah Entertainment.
Hampir 10,000 penonton hadir sambil sama-sama meraikan lebih 30 buah lagu yang dipersembahkan Rossa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
@mediahiburanofficial Penghormatan Rossa buat sahabatnya Biduanita Negara, Siti Nurhaliza… Sekali tuan badan kasi kejutan secara spontan sambung menyanyi lagu ‘Percayalah’. Love them both! 👏🏼♥️ #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan