
Pelakon Mimi Ernida meluahkan rasa terkilan dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang didakwa mencipta akaun palsu menggunakan namanya untuk mengeluarkan kenyataan jelik serta menghina orang lain.
Menurut Mimi, dia sebelum ini pernah menegur, namun tegurannya tidak diendahkan.
“Saya mahu memohon maaf berkaitan isu akaun palsu ini. Ia perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab. Isu ini sudah berlarutan sejak sebulan yang lalu.
“Ia bermula daripada akaun palsu di Tik Tok. Dia ada buat tiga akaun palsu. Saya sudah tegur di DM dan dia ada memohon maaf dan bersetuju untuk padam akaun tersebut.
“Dia tak padam pun akaun itu dan dua sekat saya di Tik Tok. Dia menggunakan akaun tersebut dengan gambar saya untuk bercakap perkara-perkara yang mengarut dan menakutkan.
“Dia banyak mengeluarkan kenyataan yang tak elok. Dia ada masuk ke sesi siaran langsung kawan-kawan artis saya yang sedang meniaga. Dia juga menghina dan mencaci anak-anak yang cacat,” katanya.
Penjelasan itu dikongsikan Mimi menerusi sebuah hantaran video di Instagram.
Katanya lagi, perkara tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi, malah turut memberi kesan terhadap mentalnya.
Ekoran insiden itu, Mimi memaklumkan dia sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Hal ini sedikit sebanyak mengganggu emosi saya. Saya sibuk dengan jadual kerja dan meniaga. Dia juga ada menggunakan gambar kedua ibu bapa saya dan mendoakan perkara yang tidak baik.
“Kali ini, saya sudah ambil tindakan dan membuat laporan polis. Saya tidak akan mengeluarkan apa-apa lagi kenyataan.
“Biarlah pihak berwajib yang melakukan siasatan siapakah di sebalik akaun palsu ini,” ujarnya lagi.
Mimi dalam masa sama memohon doa orang ramai agar isu ini dapat diselesaikan segera.
“Saya perlukan doa anda semua. Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan yang baik-baik buat saya. Tolong doakan semoga isu akaun palsu ini dapat diselesaikan segera.
“Mungkin sebelum ini dia terlepas dan rasa polis tidak akan dapat tangkap dia. Kalau Allah izinkan, segalanya boleh berlaku. Saya sudah simpan pelbagai bukti,” kongsinya lagi.
Selain itu, Mimi turut menggesa pihak Tik Tok mengambil langkah tegas bagi menyekat akaun terbabit.
“Saya harap pihak Tik Tok bantu saya ambil tindakan. Walaupun ramai sudah buat laporan tapi Tik Tok masih membenarkan akaun tersebut aktif.
“Sekali lagi saya minta maaf kepada semua pihak yang sudah dihina dan dicaci,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, nama Mimi pernah menjadi perhatian selepas ada pihak didakwa menyamar menjadi dirinya dan meninggalkan komen negatif terhadap orang lain.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Mimi Erdina