
Dunia muzik rock kehilangan salah seorang figura paling berpengaruh apabila gitaris utama dan pengasas bersama kumpulan legenda Kiss, Ace Frehley, disahkan meninggal dunia pada usia 74 tahun.
Menurut laporan media antarabangsa, Frehley dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Morristown, New Jersey pada 16 Oktober selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh. Sumber keluarga memaklumkan, kecederaan tersebut membawa kepada pendarahan otak yang serius sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.
Dalam satu kenyataan rasmi, keluarga mendiang menyifatkan pemergian Frehley sebagai satu kehilangan besar. “Kehilangannya terlalu besar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Dunia telah kehilangan seorang legenda sejati,” kata wakil keluarga.
Frehley, atau nama penuhnya Paul Daniel Frehley, dikenali sebagai “Spaceman” dalam kumpulan Kiss , satu persona ikonik yang diilhamkan daripada kostum berwarna perak dan solekan futuristik yang menjadi simbol band berkenaan sejak awal penubuhannya pada tahun 1973.
Bersama rakan sepasukan seperti Paul Stanley, Gene Simmons dan Peter Criss, Kiss mencipta fenomena global melalui persembahan penuh tenaga, piroteknik dan gaya persembahan luar biasa di pentas.
Sebagai gitaris utama, Frehley dianggap antara pelopor bunyi “arena rock” pada era 1970-an yang menjadi rujukan kepada ramai pemuzik lain di seluruh dunia.
Beliau turut mencipta beberapa lagu klasik kumpulan tersebut termasuk Shock Me, Cold Gin dan Rocket Ride yang kekal menjadi siulan peminat sehingga hari ini. Lagu Shock Me yang diterbitkan pada tahun 1977 turut menandakan kali pertama beliau tampil sebagai penyanyi utama dalam album Kiss.
Selepas meninggalkan kumpulan itu pada tahun 1982, Frehley menubuhkan kumpulan Frehley’s Comet dan melancarkan beberapa album solo yang mendapat sambutan baik daripada peminat muzik rock.
Beliau kemudian kembali bersama Kiss bagi siri jelajah reunion pada lewat 1990-an sebelum berundur sekali lagi pada awal 2000-an untuk memberi tumpuan kepada kerjaya solo.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan