
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencuri tumpuan apabila beliau sempat menyantuni sekumpulan peminat daripada kalangan pelajar sekolah menengah ketika sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran, semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, sekumpulan pelajar yang berada di luar restoran itu dilihat terlalu teruja melihat keberadaan Siti di premis terbabit.
Mereka juga sempat koyakkan buku latihan sekolah semata-mata untuk mendapatkan tandatangan daripada Siti.
Malah, penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini juga dengan senang hati melayan permintaan kanak-kanak itu.
Bukan setakat itu, Siti juga turut meluangkan masa untuk beramah mesra dan merakamkan gambar dengan peminat cilik tersebut.
Lebih istimewa, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut membuat kejutan dengan mempelawa pelajar-pelajar tersebut makan tengah hari secara percuma.
Para pelajar tersebut dilihat sangat teruja kerana berpeluang beramah mesra dan berinteraksi dengan lebih dekat dengan penyanyi nombor satu tanah air itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji keperindian Siti yang sangat merendah diri selain turut menyifatkan pelajar-pelajar tersebut sebagai bertuah.
Berikut antara komen-komen yang ditinggalkan netizen;
“Gen Alpha pun sayang Tok Ti tau.”
“Kalau macam ni, mak budak pun nak juga.”
“Sebab inilah Siti seorang Biduanita Negara. Impak kerjaya seni yang merentasi generasi. Ampuh kekal sehingga hari ini dengan karya-karyanya.”
“Mesti mak budak itu makan hati bila anak-anak mereka jumpa Siti dan siap belanja makan lagi.”
“Legasi Tokti tak pernah tamat. Kini gen alpha pula ambil alih.”
Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 720,000 tonton dan dihujani ribuan komen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini