
Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kontroversi melibatkan adiknya, Fyna Jebat yang mendakwa ‘disimpan’ seseorang sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan ramai.
Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, percaya adiknya itu sudah cukup matang dan mampu menyelesaikan masalahnya sendiri.
“Dia bukan budak-budak lagi. Dia pun sudah 33 tahun. Jadi, apa yang dia lakukan, dia tahu kesannya. Tetapi, saya bukan orang yang sesuai untuk mengulas mengenai perkara ini.
“Bagi saya, kalau apa-apa pun, saya mohon kita doakan yang terbaik untuk dia dan suami. Saya pun dapat tahu daripada adik-beradik yang lain,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurut Ayda, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya adalah pada hari raya pertama, dan ketika itu, keadaan kelihatan baik tanpa sebarang petanda masalah.
“Kami ada berjumpa selepas beberapa bulan tidak saling menghubungi. Kali terakhir bertemu adalah pada hari pertama Aidilfitri, ketika saya berada di kediaman mentua saya.
“Ketika itu, macam tidak ada apa-apa berlaku. Selepas pertemuan itu, kami tidak berhubung,” katanya lagi
Terdahulu, Fyna atau nama sebenarnya Nur Shafinaz Jebat telah memuat naik satu hantaran yang mendedahkan dakwaan kekasaran oleh seorang individu terhadap dirinya.
Dalam hantaran tersebut, Fyna turut mempersoalkan sampai bila dia akan menjadi simpanan individu berkenaan, selain meminta individu itu untuk hadir ke mahkamah pada April ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Harian Metro, Instagram Ayda Jebat & Fyna Jebat