
Selepas kejayaan Project EXIT, First Wives dan Honey Trap, Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kandungan tempatan melalui siri terbaru Astro Originals, Generasi: Perfect 10 yang kini lebih berani dan relevan seiring dengan aspirasi jenama Astro ‘Home Of Originals’.
Bukan sekadar hiburan, setiap karya yang dihasilkan membawa naratif yang menyentuh jiwa, mencerminkan realiti masyarakat dan aspirasi generasi masa kini.
Menurut Benjamin Woo, Ketua Bahagian Pemasaran Astro, pendekatan promosi kini perlu lebih holistik dan bersifat segmentasi, menepati citarasa pelbagai lapisan penonton.
“Bila bercakap soal penonton, mereka ada pelbagai jenis. Ada isi rumah, remaja dan macam-macam lagi. Jadi, kita perlu cakna mengenai trend semasa.
“Promosi yang dibuat khas untuk remaja tidak akan sama dengan golongan-golongan lain meskipun ia daripada sebuah drama atau program yang sama.
“Kita kena kenal penonton kita dan cari tahu bagaimana caranya untuk kita mewakili mereka,” katanya kepada MH.
Tambahnya lagi, Astro Originals kini bersedia untuk lebih aktif mendekati komuniti, memperkukuh hubungan serta membina jalinan yang lebih bermakna bersama penonton
“Pada saya, kita bukan sahaja perlu merangka strategi promosi yang menyentuh emosi penonton tetapi kita juga perlu bina keserasian dengan cepat.
“Lantaran itu, bersempena dengan kempen Merdeka Astro baru-baru ini, kita turun ke lapangan dan memperkenalkan Astro Home Of Drama & Originals. Penerimaan orang ramai sangat bagus.
“Kami merancang untuk terus merangka strategi yang sama terutamanya buat Astro Originals tidak lama lagi,” ujarnya.
Astro sebagai ‘Home Of Originals’ terus komited menghasilkan karya bermutu tinggi yang dekat dengan masyarakat.
“Fokus utama dan hala tuju kami untuk memperkasakan kedudukan Astro sebagai ‘Home Of Drama & Originals’ adalah dengan menghasilkan karya yang autentik dan menghubungkan penonton Malaysia dengan penceritaan asal yang relevan dengan konteks masa kini.
“Kita sudah punyai banyak ‘originals series’ di pasaran tapi kami sentiasa berpegang kepada kisah-kisah tempatan yang mampu memberikan inspirasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad menegaskan Astro Shaw tidak akan terus berada di zon selesa sebaliknya bersedia untuk mengubah lanskap drama dan filem tempatan.
“Menjelang tahun 2026, Astro Shaw komited untuk mengangkat lagi Astro Originals dengan mengetengahkan penceritaan yang mencerminkan identiti Malaysia, sambil mengekalkan nilai produksi berkualiti tinggi yang mampu berdiri sebaris dengan judul antarabangsa.
“Antara projek akan datang termasuk Evo: Matyam, sebuah siri spin-off yang menampilkan watak Matyam dari Polis Evo 1; Kudrat 1968, pengembangan daripada francais Projek: High Council; Bad Cop, adaptasi daripada karya Jerman yang meraih kejayaan besar pada 2017 dan turut berjaya di India; serta sebuah idea asal berjudul Good Boys Go to Heaven.
“Penonton boleh menjangkakan Astro akan terus meneroka genre dan format baharu, bukan sahaja tertumpu pada aksi dan jenayah tetapi juga merangkumi psychological thriller berteraskan budaya Malaysia serta drama berlatarkan zaman.
“Dalam masa yang sama, kami kekal berorientasikan penonton dengan memberi fokus kepada tema yang dekat di hati.
Generasi: Perfect 10 Hidupkan Inspirasi Anak Muda
Astro Originals hadir dengan karya terbaru, Generasi: Perfect 10 (G:P10) sebuah siri yang telah mula ditayangkan bermula 19 September 2025, setiap Jumaat jam 12 tengah malam. Dibintangi nama-nama besar seperti Sofea Jane, Sherie Merlis, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan ramai lagi, G:P10 menjanjikan lakonan yang segar, berani, dan lain daripada yang lain.
Pelakon utamanya, Arena Wan akui teruja dapat terlibat dalam projek berkenaan yang disifatkan sangat istimewa.
“Sejujurnya, sejak dahulu lagi saya memasang impian untuk terlibat di dalam siri Astro Originals.
Bila diberi peluang, sudah tentu saya sangat teruja. Pada masa sama, saya agak gemuruh.“Pada saya, Astro Originals punyai standard kualiti yang sangat tinggi dan sebagai pelakon, kita perlu capai tahap itu. Saya sangat berbesar hati dan anggap peluang ini sebagai satu penghormatan,” katanya.
Arena mengakui cabaran terbesar ialah latihan gimnastik intensif sebulan sebelum penggambaran.
“Momen yang paling mencabar sudah pastilah bila melibatkan aktiviti gimnastik. Saya bukan seorang atlet. Saya memang tiada pengalaman dalam bidang ini.
“Namun, bila diberi tanggungjawab, saya belajar dan kaji watak ini. Saya kena bawa watak ini senyata yang mungkin,” jelasnya.
Sementara itu, hero utama Daniel Fong pula menyifatkan gandingannya bersama Arena membantu membina keserasian.
“Saya ambil inisiatif untuk mengenali Arena dengan lebih dekat. Malah, ketika penggambaran, saya selalu ajak Arena makan bersama untuk bina keserasian. Ini antara kerja rumah yang saya lakukan sendiri,” katanya.
Bagi Arabella Ellen pula, membintangi G:P10 mengembalikan memorinya sebagai atlet gimrama kebangsaan.
“Saya gembira untuk bawakan watak sebagai atlet gimnastik walaupun ia bukan acara sebenar saya. Ketika proses persiapan, kami memang dilatih oleh jurulatih kebangsaan,” jelasnya.
Arabella turut mendedahkan dia mengalami kecederaan kaki akibat latihan intensif.
“Ya, saya ada mengalami kecederaan. Disebabkan itu, kaki kanan saya mengalami keradangan. Jadi, saya perlu berehat selama seminggu,” katanya.
Menariknya, Arabella menyifatkan wataknya, Victoria, sebagai ‘Queen Bee’ di sekolah.
“Victoria adalah seperti ‘Queen Bee’ di Sekolah Permai. Dia juga merupakan ketua untuk pasukan gimnastik.
“Saya tak kata Victoria ini merupakan watak jahat tapi anda perlu tengok sendiri plot twist untuk keseluruhan cerita,” jelasnya.
Astro Originals Generasi: Perfect 10 bukan sekadar kisah sukan, ia adalah naskah yang menyentuh jiwa, mengangkat perjuangan seorang remaja dalam mengejar impian, mengharungi tekanan dan mempertahankan hubungan yang bermakna. Ditulis oleh Nas Addina, siri ini membuka jendela kepada realiti kehidupan atlet muda yang penuh cabaran dan harapan.
Jom Usha dan Strim Astro Originals #GenerasiPerfect10 di On Demand dan Strim Astro One. Boleh layan di mana mana saja, bila- bila masa! ATAU #JomUsha Astro Originals Generasi: Perfect 10 hanya dengan Astro One atau aplikasi sooka!
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini