
Kes tragik membabitkan seorang bekas finalis program MasterChef Malaysia dan bekas suaminya berakhir dengan hukuman penjara 34 tahun setiap seorang selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 20 Jun 2025 mensabitkan mereka atas tuduhan membunuh pembantu rumah mereka pada 2021.
Etiqah Siti Noorashikeen Sulang, 37, dan Mohammad Ambree Yunos, 44, didapati bersalah menyebabkan kematian Nur Afiyah Daeng Damin, 28, di kediaman mereka di Amber Tower, Penampang, antara 8 hingga 11 Disember 2021.
Hakim Lim Hock Leng ketika membacakan keputusan memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula serta-merta. Ambree turut dikenakan 12 sebatan, manakala Etiqah dikecualikan daripada hukuman itu atas faktor jantina.
Lim menyatakan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam penghakimannya, sambil menegaskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kecederaan yang dialami mangsa adalah disengajakan dan dilakukan secara bersama.
Kes ini dikendalikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus, memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman maksimum atas kekejaman luar biasa yang berlaku dalam kes ini.
“Mangsa adalah seorang wanita muda yang meninggalkan kampung halamannya untuk mencari rezeki secara jujur ketika pandemik, namun akhirnya kehilangan nyawa di tempat dia bekerja,” kata Dacia.
Selain itu menurut Dacia lagi, video dan imej yang ditemui daripada telefon tertuduh merupakan bukti yang mendokumentasikan penderitaan mangsa. Penemuan ini menunjukkan bahawa tertuduh memang berniat untuk merakam dan menyimpan detik-detik penderitaan si mati.
Beliau turut mendedahkan bahawa mangsa bukan sahaja didera setiap hari, malah turut dinafikan hak asasi seperti bayaran gaji.
Menurut laporan media tempatan, Etiqah dan Ambree bercerai pada Julai tahun lalu. Imbas kembali, Etiqah Siti Noorashikeen merupakan peserta rancangan realiti masakan popular, MasterChef Malaysia musim kedua pada 2012. Beliau merupakan empat finalis terbaik sebelum tersingkir di peringkat akhir.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Sumber: DailyExpress