
Filem Babah mencipta sejarah apabila membolot enam trofi utama termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang disiarkan secara langsung di TV2 dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, penerbit Babah, Nads Media Entertainment, menerima Dana Kandungan Kreatif (DKD) bernilai RM1 juta dan trofi.
Filem tersebut menewaskan empat finalis lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz: Game of Life, Takluk: Lahad Datu dan Reversi.
Trofi Filem Terbaik disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada pengarah Babah, Mohd Shah Faizul, disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Selain Filem Terbaik, Babah turut membawa pulang lima lagi trofi, termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Pengarah Harapan
(Mohd Shah Faizul), Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq) dan Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri).Malam penuh gemilang itu turut menyaksikan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra mengungguli kategori Pengarah Terbaik menerusi filem aksi Blood Brothers: Bara Naga.
Pelakon berbakat, Amir Ahnaf pula dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan menerusi Kahar: Kapla High Council, manakala Michelle Lungan diumumkan Pelakon Wanita Harapan bagi filem Tegkang.
Trofi Pelakon Kanak-kanak Terbaik pula menjadi milik Puteri Rafasya melalui lakonannya dalam Telaga Suriram.
FFM34 turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik yang dimenangi Blood Brothers: Bara Naga.
Filem sama turut menerima Anugerah Khas Filem Box Office selepas mencatat kutipan lebih RM73.6 juta.
Seniman legenda Datuk Ahmad Tamimi Siregar diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zamanatas lebih 50 tahun jasa beliau dalam dunia perfileman, manakala Hassan Muthalib pula menerima Anugerah Khas Karyawan FFM34.
Pemenang 27 kategori utama masing-masing menerima RM5,000 dan trofi, sementara pemenang Anugerah Khas pula membawa pulang RM10,000 dan trofi.
Tambahan hadiah berjumlah RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS turut diberikan kepada pemenang tujuh kategori utama termasuk Pengarah Terbaik, Filem Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Berikut adalah senarai penuh pemenang FFM34;
Filem Terbaik: Babah
Pengarah Terbaik: Syafiq Yusof & Abhilash Chandra – Blood Brothers: Bara Naga
Pelakon Lelaki Terbaik: Qi Razali – Babah
Pelakon Wanita Terbaik: Sweet Qismina – Babah
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly – Blood Brothers: Bara Naga
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty – Telaga Suriram
Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf – Kahar: Kapla High Council
Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan – Tegkang
Pengarah Harapan: Mohd Shah Faizul – Babah
Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Puteri Rafasya – Telaga Suriram
Lakon Layar Terbaik: Wan Rafiq – Babah
Cerita Asal Terbaik: Nadia Nadzri – Babah
Penyunting Terbaik: Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof – Soloz: Game of Life
Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin – Blood Brothers: Bara Naga
Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa – Blood Brothers: Bara Naga
Skor Muzik Asal Terbaik:Muhammad Zaoff Sharqil, Donald Bangkong, Teoh Eng Hooi, Azri Yunus, Mohammad Raziz, Mohd Idham, Megat Sazali & Ahmad Huzaini – Soloz: Game of Life
Penataan Bunyi Terbaik: Mohsin Othman – Soloz: Game of Life
Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh – Kulit Wayang
Rekaan Busana Terbaik: Farah Syaliq – Mencari Ramlee
Tatarias Terbaik: Ella Sandera – Takluk: Lahad Datu
Kesan Khas Visual Terbaik: Jehcob & Sam – Soloz: Game of Life
Aksi & Lagak Ngeri Terbaik: Ubbaidillah Amirzan – Blood Brothers: Bara Naga
Poster Terbaik: Tegkang
Filem Pendek Terbaik: Saranghae
Filem Dokumentari Terbaik: Rindu Tak Berpenghujung
Anugerah Khas Karyawan FFM 34: Hassan Muthalib
Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tamimi Siregar
Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali: Wow Animations dan Primeworks Sdn Bhd
Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu (Multimedia Film Production)
Dengan tema ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’ FFM34 yang dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim menyaksikan 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari diadili oleh juri profesional.
FFM34 turut diserikan dengan persembahan daripada Shila Amzah, Zizi Kirana, Misha Omar, Lan Typewriter, Ziana Zain dan ramai lagi, menjadikan malam FFM34 bukan sekadar acara anugerah, tetapi satu perayaan sinema Malaysia yang penuh prestij dan emosi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini