Categories: Berita Hiburan

Festival Sepayung Borneo Sunset Vibes 2025 Tutup Tirai Dengan Kejayaan Luar Biasa! – “Budaya Kita Tetap Jadi Kekuatan Terbesar.”

Share

Sepayung Borneo Sunset Vibes Music Festival 2025 melabuhkan tirai dengan kejayaan luar biasa, sekali gus mencipta detik bersejarah dalam landskap budaya dan kreatif Malaysia.

Berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober lalu di JAMPJ, Petaling Jaya, festival selama tiga hari itu telah dilihat berjaya mengubah lokasi tersebut menjadi pusat gemilang yang sarat dengan muzik, seni, budaya dan penyatuan di bawah tema “One Rhythm, One Soul, One Borneo.”

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) dengan kerjasama Breaking Music Sdn. Bhd, serta mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Malah ia turut menjadi platform nasional untuk mengetengahkan keunggulan seni Sabah dan Sarawak, memperkasa bakat tempatan, serta mengukuhkan jambatan budaya antara Malaysia Timur dan Barat melalui seni dan kreativiti.

Perayaan Seni Kukuh Industri Pelancongan & Ekonomi

Sepayung Borneo Sunset Vibes Music Festival 2025 membuktikan kekuatan budaya sebagai penyatu masyarakat.

Selain hiburan, festival ini memainkan peranan penting memacu industri pelancongan dan kreatif negara.

Daripada alunan memukau sape’ hingga rentak moden muzik pop dan indie Malaysia, festival ini menghadirkan persembahan menakjubkan yang merangkul kepelbagaian bakat tempatan, inovasi anak muda dan kreativiti tanpa batas.

Dengan kehadiran peserta dan delegasi dari seluruh ASEAN, acara ini menjadi pusat pertukaran budaya dan kerjasama antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya yang semakin meningkat di rantau ini.

Festival ini turut merangsang aktiviti ekonomi, menyokong peniaga tempatan, perusahaan kecil, artisan, dan usahawan muda yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dalam ucapan penutupnya, Jawed Khan, selaku pengerusi penganjur menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, MOTAC, para penaja dan rakan industri kreatif atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Sepayung Borneo ialah gerakan kesatuan, kreativiti dan kebanggaan. Kita telah membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu berdiri di mana sahaja pentas global.

“Juga, budaya kita tetap menjadi kekuatan terbesar. Ini hanyalah permulaan kepada bab kreatif baharu untuk negara kita,” katanya.

Perancangan untuk Sepayung Borneo 2026 telah pun dimulakan, dengan matlamat memperluas penganjuran festival melalui kerjasama antarabangsa, persidangan industri kreatif, dan pameran pelancongan dalam usaha meneguhkan peranan Malaysia sebagai nadi budaya ASEAN.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH