Berita

“Fenomena Sedang Diukir,” – Dikritik Kurang Popular & Tiada Aura Hero, Firdaus Karim Syukur Bintangi Drama ‘Prime Time’

Share

Dikritik kerana dikatakan kurang popular dan tidak memiliki aura untuk menggalas watak sebagai hero, pelakon Firdaus Karim tetap bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan pihak produksi dan stesen TV untuk membintangi drama Doa Yang Terlindung.

Menurut Firdaus, naskhah Doa Yang Terlindung merupakan pengalaman pertamanya muncul dalam slot drama yang disiarkan pada waktu perdana.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Firdaus menerusi satu hantaran di Instagram.

Pengalaman Pertama

“Pertama kali bermain dalam dunia drama TV perdana. Mengalas tanggungjawab membantu menjalankan naskah bersama para pemain berpengalaman drama perdana.

“Terima kasih kepada Creative Skill Solution, Idora Abdul Rahman, TV3 dan Drama Sangat kerana berani mengambil risiko melibatkan saya untuk bermain watak ini,” tulisnya.

Dalam masa sama, Firdaus turut berharap agar drama tersebut bukan sekadar hiburan, malah mampu memberikan pengajaran dan menyentuh hati penonton.

“Terima kasih atas sambutan luar biasa untuk naskah Doa Yang Terlindung. Semoga naskah ini memberi manfaat, tauladan dan sempadan buat kita semua,” kongsinya lagi.

Peluang Buat Bakat Baharu

Sementara itu, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga ini turut menyeru pihak stesen TV dan produksi agar terus membuka ruang kepada bakat-bakat baharu, khususnya mereka yang kurang popular.

“Sambutan ini juga adalah satu refleksi positif buat stesyen tv dan produksi di luar sana agar lebih terbuka, yakin dan berani bekerja bersama pemain-pemain baru yang ada.

“Pintu sudah diketuk dan dibuka, impaknya sudah terpampang depan mata. Fenomena sedang terukir.

“Ayuh teman-teman seperjuangan yang masih bergelut mencari peluang, kita jalan terus bersama,” ujarnya lagi.

Selain Firdaus, drama Doa Yang Terlindung turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Fasha Sandha, Sharifah Rose dan Nafiz Muaz.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber: Instagram Firdaus Karim

Published by
Aizam Manaf