Categories: Hiburan

Fasha Sandha Tak Tarsinggung Bila Ada Yang Tak Kenal, Lebih Selesa Jadi Orang Biasa

Share

Susulan insiden disapa oleh seorang wanita warga emas yang tidak mengenali dirinya sebelum ini, aktres Fasha Sandha memaklumkan dia langsung tidak tersinggung dan menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang normal.

Menurut Fasha, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berkunjung ke restoran milik sepupunya.

Katanya lagi, wanita berkenaan datang menyapanya sambil menyatakan hasrat untuk menjodohkan dia dengan cucunya.

“Saya percaya ramai yang tak cam dengan penampilan saya yang terbaharu ini. Ada yang tak perasan dan tertanya-tanya adakah itu Fasha Sandha.

“Mungkin makcik itu tak cam saya sebab ketika itu, saya tidak mengenakan make up. Pada waktu itu, saya sedang buat konten untuk kedai sepupu saya.

“Tiba-tiba dia datang dan kata nak kenenkan saya dengan cucunya. Jadi, saya kongsilah video itu sebagai kenangan,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Anak Mami Kembali itu berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran outlet terbaharu Kopi Saigon, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fasha menjelaskan dia tidak mahu membesar-besarkan isu tersebut kerana memahami bahawa bukan semua orang mengikuti dunia hiburan.

“Anak kepada wanita itu ada DM saya bagitahu itu adalah ibunya dan meminta maaf disebabkan insiden itu. Sebenarnya, saya tidak kisah pun jika ada yang tak kenal saya.

“Kita tak boleh nak anggap semua orang di Malaysia ini kenal kita. Ada golongan yang memang tidak menonton drama. Pada saya, itu bukan satu perkara yang mengejutkan,” kongsinya lagi.

Aidil Anggap Lucu

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, suami Fasha yang juga pelakon, Aidil Aziz turut menganggap situasi tersebut sebagai momen lucu.

“Ketika itu, saya sebenarnya ada di belakang Fasha. Saya nampak sendiri momen itu secara langsung di depan mata.

“Pada saya, itu hal yang mencuit hati.
Pada masa sama, saya bangga sebab isteri saya masih kelihatan muda,” ujarnya.

Fasha pada masa sama menegaskan bahawa dia lebih selesa dikenali sebagai orang biasa ketika berada di luar urusan kerja.

“Saya seorang yang mudah sahaja. Saya tidak meletakkan diri saya sebagai selebriti. Ketika bekerja, ya saya seorang artis.

“Bila di luar, saya ibarat orang biasa sahaja. Saya bebas membuat apa sehaja seperti kerja mencuci, bawa kereta atau pergi pasar.

“Mungkin sebab itu saya nampak lebih dekat dengan masyarakat. Ini bukan diri saya yang sekarang. Sejak dahulu lagi saya saya bersifat sebegini.

“Jadi, saya kekalkan sahaja. Bila saya jadi diri sendiri dan merendah diri, orang akan rasa dekat dengan kita. Namun, saya tidaklah sempurna. Tetap ada kekurangannya,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Fasha dan Aidil kini merupakan pemilik cawangan baharu Kopi Saigon di MyTown, Cheras.

Pada majlis pelancaran itu juga, pihak Kopi Saigon memperkenalkan menu terbaharu sempena pembukaan cawangan milik pasangan ini iaitu So Mucha, produk minuman berasaskan serbuk matcha.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Kredit Foto: Instagram Fasha Sandha

Published by
Aizam Manaf