Categories: Berita Hiburan

Fahimi Rahmat Pilih Lindungi Privasi Isteri, Elak Penyakit Ain Jadi Antara Sebab Tutup Wajah – “Dia Bukan Individu Yang Terlibat Dalam Seni.”

Share

Penyanyi dan komposer, Fahimi Rahmat, yang selamat mendirikan rumah tangga pada 20 Disember lalu, mengakui sehingga kini, dia masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah isterinya kepada umum.

Menurut Fahimi, 29, dia juga memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci mengenai latar belakang suri hati demi menjaga privasi pasangan hidupnya itu.

“Sebenarnya saya ambil keputusan tersebut (tutup wajah isteri) atas beberapa sebab, termasuk hal yang berkaitan dengan penyakit ain.

“Selain itu, demi menjaga sisi peribadinya juga memandangkan dia bukanlah individu yang terbabit dalam industri seni macam saya.

”Dia orang biasa, hanya ‘luar biasa’ untuk saya saja. Perkara itu juga atas permintaan isteri,” katanya.

Fahimi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Extra Joss Gathering for Media & Content Creators di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai berita perkahwinannya yang mengejutkan peminat, penyanyi yang popular menerusi lagu Angau itu menjelaskan perkongsian tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang salah faham atau fitnah.

“Pada akhirnya setiap manusia pasti akan impi untuk hidup berdua (mendirikan rumah tangga). Perkahwinan juga adalah satu sunnah.

“Perkongsian saya mengenai perkahwinan bukanlah untuk menguar-uarkan kepada semua secara berlebihan. Saya hanya kongsi benda yang penting bagi elak fitnah, tak ada maksud lain,” katanya lagi.

Kolaborasi Promosi & Pelancaran Semula Perisa Oren

Dalam perkembangan lain, Fahimi menjadi antara selebriti dan pempengaruh yang terlibat dalam kolaborasi mempromosikan varian perisa baharu bagi jenama minuman tenaga Extra Joss di media sosial.

Jenama tersebut kini mengumumkan pelancaran semula Extra Joss Oren di Malaysia, dengan matlamat mengukuhkan pertumbuhan volum serta memperluas kehadiran jenama dalam pasaran minuman tenaga mampu milik.

Pengurus Negara Kalbe Malaysia Sdn Bhd, Oktavianus, berkata pelancaran semula ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat bagi memperkukuh portfolio produknya di negara ini.

Walaupun perisa Anggur kekal sebagai pilihan utama pengguna tempatan, pengenalan semula perisa Oren dilihat mampu memenuhi keperluan segmen pengguna yang menggemari rasa lebih ringan, menyegarkan dan mudah dinikmati pada bila-bila masa.

Extra Joss Oren mengekalkan formulasi asal yang menggabungkan Vitamin B Kompleks, Ginseng Korea dan Royal Jelly, sekali gus menawarkan rasa oren yang menyegarkan bersama fungsi tenaga segera dalam bentuk yang ringkas dan menyeronokkan.

Ketika ini, Extra Joss turut menawarkan rangkaian perisa lain seperti Active, Anggur dan Mangga, yang disesuaikan mengikut citarasa pengguna berbeza.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga mengambil peluang untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kewujudan produk Import Selari (Parallel Import) yang semakin banyak di pasaran.

Jelasnya, hanya produk yang diedarkan secara rasmi oleh Kalbe Malaysia mematuhi piawaian keselamatan tempatan serta menawarkan jaminan kualiti, ketelusan dan sokongan pelanggan.

Extra Joss kini boleh didapati dengan mudah di kedai runcit, kedai borong, minimarket, pasar raya, pasar raya utama serta platform e-dagang di seluruh negara.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH