
Suami kepada penyanyi dan pelakon, Erra Fazira, iaitu Ezwan Zain, berkongsi bunga emas yang dijadikan mas kahwin sebagai sebahagian kejutan khas untuk isterinya.
Menurut Ezwan, 44, Erra hanya mengetahui tentang dinar emas, namun tidak menyangka akan menerima dalam bentuk gubahan bunga yang mengandungi 24 keping dinar emas.
“Banyak kejutan yang saya cuba sediakan untuk Erra hari ini antaranya mas kahwin yang dijadikan bunga emas. Sebelum ini dia sudah tahu tentang dinar emas itu tetapi tidak tahu akan diberikan sebanyak 24 keping.
“Tiada simbolik nombor 24 itu, sebaliknya sekadar ingin mencukupkan berat 100 gram,” katanya.
Ezwan Urus 95% Persiapan Kahwin
Sementara itu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, mendedahkan suaminya memainkan peranan besar dalam merancang keseluruhan majlis perkahwinan mereka.
“Kalau perkahwinan sebelum ini saya yang banyak uruskan. Tetapi kali ini boleh dikatakan Ezwan yang menguruskan 95 peratus segala urusan perkahwinan kali ini,” kongsinya.
Berkongsi mengenai perancangan bulan madu pula, Erra memaklumkan ia perlu ditunda sehingga selepas Aidilfitri memandangkan dirinya terikat dengan jadual penggambaran serta konsert yang bakal berlangsung pada Februari nanti.
Terdahulu, Erra sah bergelar isteri kepada Ezwan dalam majlis akad nikah yang diadakan di Kampung Melayu Subang tepat jam 9.19 pagi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini