
Selebriti terkenal, Erra Fazira tidak menafikan dia memang sudah meninjau beberapa dewan acara, namun belum membuat sebarang tempahan untuk apa-apa majlis.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, kunjungan ke lokasi tersebut juga hanyalah atas ajakan kenalan yang ingin menunjukkan kepadanya mengenai keistimewaan premis perniagaan mereka.
“Tidak dapat dinafikan ada desas-desus (kahwin), jadi kita sajalah tinjau tempat (dan) kawan-kawan pun bagi cadangan lokasi menarik.
“Mereka pun tahu kita dalam fasa berkawan yang membuatkan orang syorkan tempat (kenduri).
“Kami okey, ‘take note’ tapi macam saya katakan, langkah seterusnya masih lagi memerlukan doa semua.
“Kami tak ‘locked’ pun dewan. Nak kata dekat tarikh (nikah) belum lagi, saya susah nak cakap. Benda ini (kahwin) serius. Kalau ye, famili tahu dah,” katanya.
Masih berteka-teki mengenai spekulasi bakal ke gerbang perkahwinan dengan usahawan Ezwan Zain, 44, Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu tidak menafikan banyak pihak ada menghubunginya untuk menaja perkahwinan mereka.
“Apabila timbul khabar bakal berkahwin, banyak pihak ‘approach’ nak masuk (taja), tanya macam-macam.
“Kita terbuka, kalau nak kita dengar sahaja isi kertas cadangan tapi selebihnya adalah doa ramai.
“Apa pun saya syukur dan berterima kasih kepada yang berminat nak taja. Mungkin mereka dengar kami berkawan dah ke arah itu (kahwin), waullahualam,” ujarnya lagi.
Terdahulu, ada sumber mendakwa aktres dan penyanyi terbabit bersama Ezwan atau dikenali sebagai Mr. E sudah memilih tarikh hari bahagia mereka.
Sebelum ini, Erra memaklumkan persahabatan yang semakin akrab sekitar awal tahun ini sudah diketahui keluarga apabila ibunya bertemu lelaki terbabit.
Mr. E pula mengakui mula menjalinkan hubungan serius dengan ratu cantik itu selepas berkenalan pada Ogos 2024.
Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.
Sebelum itu, Erra juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini